SUATU aktiviti mental yang memainkan peranan besar dalam membina ketenangan, keceriaan dan kemajuan hidup ialah ar-raja’ atau bergantung hidup.
Seluruh umat Islam dituntut supaya menaruh pengharapan yang tinggi kepada Allah s.w.t untuk memperolehi rahmat dan nikmat-Nya yang disediakan bagi hamba-hamba yang salih.
Manusia sebagai makhluk yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan juga amat perlu mengharap keampunan (maghfirah) daripada Illahi. Harapan ini akan memberi dorongan yang berterusan untuk maju mendekatkan diri kepada Allah kerana percaya bahawa Allah akan menyambut setiap langkah pendekatan hamba-Nya sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis Qudsi:
“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan, maka untuknya sepuluh kali ganda pahala, bahkan mungkin lebih. Sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dibalas dengan satu dosa, bahkan mungkin diampuni. Dan sesiapa yang menghampiri-Ku (Allah) sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. Sesiapa yang datang kepada-Ku berjalan, maka Aku akan berlari kepadanya. Sesiapa yang menghadap kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, sedangkan dia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan menemuinya dengan keampunan sebesar itu pula.” (Riwayat Muslim).