Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Berzikir kepada Allah SWT setiap pagi dan petang sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW adalah makanan rohani sebagaimana fizikal luaran manusia memerlukan makanan untuk memberi kekuatan dan kesihatan tubuh badan.
Apabila amalan zikir dihidupkan dan dijadikan kebiasaan maka perjalanan kehidupan harian akan dirasai ketenangan, kebahagian dan keceriaan. Segala masaalah kehidupan akan mudah diatasi kerana mendapat bantuan dan rahmat Allah SWT.
“Sesungguhnya Rasulullah selalu menyebut-nyebut rahmat Tuhan, dalam satu hadis qudsi Allah SWT. berfirman maksudnya : “Wahai anak-anak Adam, (sebutkan) zikirkanlah Aku selepas sembahyang subuh barang sekejap dan selepas solat asar barang sekejap maka Aku memadai kepada engkau apa yang ada diantara dua waktu tersebut maka apabila naik matahari sembahyanglah duha sebanyak 8 rakaat.” (Hadis diriwayatkan oleh Saidina Hassan r.a)
Dari Uthman bin Affan r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda ; “Tidaklah seorang hamba setiap pagi dan petang membaca; ‘ Bismillahillazi layadurrumaasmihi saiun filardi wallafis samai wahuwas samiul alim’ (maksudnya : Dengan nama Allah, yang dengan nama-Nya tidak ada mudharat sedikit pun baik di bumi dan di langit, dan Ia Maha Melihat dan Maha Mengetahui.) kecuali bahawa tidak ada sesuatu yang membahayakannya.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud dan Tarmizi)
{Zikir ini di baca 3 kali pada waktu pagi dan petang}
Di dalam hadis yang lain, dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa menjelang petang membaca , ‘A’uzubikalimatilla hittaamaati min syarrimaahalaq’ (maksudnya : Aku berlindung pada kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk-Nya) 3 kali maka tidak akan membahayakan baginya racun yang ada pada malam itu.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya)
{Zikir ini di baca 3 kali pada waktu pagi dan petang}
Sahabat yang dimuliakan,
Dari Ibnu Abbas r.a, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah SAW (di atas kenderaan), lalu baginda bersabda: “Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana keatas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.”
(Hadis Hasan Sahih Riwayat Tarmizi)
Berdasarkan hadis di atas dapatlah difahami bahawa Allah SWT mengingatkan umat manusia bahawa mereka adalah makhluk yang lemah, kuasa mereka sangat terbatas, mereka tidak akan dapat mencapai apa yang mereka hajatkan tanpa bantuan pihak yang lain.
Mengingatkan umat manusia betapa kuasa Allah yang tiada tara dan batasannya. Segala penghuni langit dan bumi tunduk kepada ketentuan-Nya. Jadi atas dasar inilah maka manusia mestilah memohon sesuatu hanya kepada Allah. Berzikir dan berdoa tanpa putus-putus mengharapkan bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT.
Selain itu juga wajib diketahui bahawa memohon pertolongan kepada Allah atau berdoa kepada-Nya mestilah secara langsung secara terus menerus kepada-Nya, tidak melalui sembarang perantaraan atau wasitah dari manusia atau lainnya.
Tidak ada orang yang dapat memberi manfaat dan mudarat tanpa izin Allah SWT. Nabi SAW menerangkan kepada Ibnu Abbas r.a bahawa sekiranya sekalian umat atau makhluk berkumpulan dan bersatu untuk memberi manfaat kepadanya ataupun sebaliknya mereka bersatu dan berkumpul untuk mendatangkan mudarat kepadanya, namun semua itu tidak mungkin akan terjadi kecuali apa yang telah dituliskan untuknya di Loh Mahfuz sejak azali.