Wednesday, 7 February 2018

Rugi Tidak Istighfar

Image result for istighfar

Sentiasa beristighfar dalam dalam apa jua keadaan kerana ia mampu menyembuhkan penyakit dalam jiwa manusia dan kesengsaraan daripada penderitaan yang dihadapi. Mohon keampunan pada Allah setiap waktu supaya Allah mengampuni dosamu dan menghalang diri daripada bala bencana dan menutup kesalahan mu.

Istighfar mampu menghalang daripada balasan atas dosa-dosa yang dilakukan di dunia dan menyelamatkan mu daripada seksa akhirat kelak selagi mana kamu beristighfar.

Istighfar membuka pintu rezeki yang tanpa tidak disangka-sangka selagi mana kamu beristighfar ikhlas memohon keampunan Allah.

Istighfar menurunkan hujan yang lebat dan menyuburkan tanam-tanaman .  Jika mahu hujan turun maka beristighfar selalu

Istighfar melembutkan hati yang keras dan orang sekeliling akan menyenangimu

Monday, 17 July 2017

Berbahagialah Ketika Diuji Oleh Ujian Yang DiberiNya



Bismillahirrahmanirrahim,
…Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya segala sesuatu, Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis. Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan menghidupkan…”- (An-Najm: 42-44)
Wahai insan istimewa pilihan Allah yakni insan yang sedang diuji,
Pujuklah hatimu andai dugaan yang mendatang itu seakan menghimpitmu. Bukan Allah tidak peduli. Bukan Allah hendak menyeksamu.
Bukan Allah sudah tidak melihat usaha dan doa-doamu, bukan Dia tidak kisah air matamu. Dia cuma hendak kamu tahu bahawa Dia menyayangimu. Sangat menyayangimu.
Masakan tidak, dari berbillion manusia di muka bumi ini, engkau pilihannya. Dia memilihmu kerana Dia ingin kau kembali padaNya.
Mungkin selama ini, kau lalai dari mengingatiNya dengan sebenar-benarnya, mungkin selama ini kau kurang bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan padamu.
Limpahan nikmat yang kau perolehi jarang sekali kau syukuri. Bahkan kau tambahi dengan keluhan.
Maka, muhasabahlah.
Wahai calon penghuni syurga,
Mahasuci Allah yang menguasai segala kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun.”- (Al-Mulk: 1-2)
Pujuklah hatimu andai dugaan yang datang itu seakan bertubi-tubi bagimu.
Bukan Allah tidak tahu, betapa dengan ujian dariNya ini, membuat kau terduduk, membuat kau menangis dan membuat kau lebih banyak ingat Dia.
Allah tahu itu dan ketahuilah Allah sentiasa memerhatimu dengan pandangan kasih sayang. Dia sentiasa ingin yang terbaik untuk kehidupanmu.
PerancanganNya sungguh berseni dan sungguh sempurna.
Dia tahu kau merancang itu dan ini, Dia tahu kau mahu itu dan ini, namun yang terjadi adalah sebaliknya. Kau perlu ingat dan pasakkan dalam jiwa, Dialah sebaik-baik perancang.
Wahai sekalian sahabatku yang sedang memperbaiki diri dan memperbaiki iman. Hidup ini dilingkari seluruhnya dengan limpahan kasih sayang Allah.
  • Dia beri kau nikmat sepasang mata, kerana kau pilihanNya untuk ada nikmat itu. Pernahkah kau terfikir andai selepas ini Dia mengambil nikmat itu?
  • Dia beri kau nikmat sepasang kaki, kerana kau pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kau terfikir andai kakimu patah dan kau disahkan tidak boleh berjalan lagi?
  • Dia beri kau nikmat sihat, kerana kau pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kau terfikir betapa banyak manusia yang sakit dihospital amat menginginkan untuk kembali sihat?
Bahkan, Dia juga beri kau nikmat ada duit, kerja, makanan, rumah, pakaian, nikmat belajar dan bermacam-macam lagi.
Tapi sayangnya, kau selalu lupa untuk mengamalkan sifat Qanaah yakni merasa cukup dengan pemberianNya.
Maka, refleksilah diri kita selalu andai kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi dikemudian hari iaitu diakhirat sana.

Percayalah, Jalan yang Allah beri tidak akan mengecewakan kita

Yakinlah orang yang percaya akan janji-janji Allah, Dia akan kirimkan khabar gembira tidak lama lagi kepadamu dari jalan yang kau tidak sangka-sangka, cepat atau lambat bukan soalnya, yang pasti Allah tidak akan memungkiri janji.
Allah tidak akan mensia-siakan orang yang melakukan kebaikan termasuk usahamu untuk bersabar dan redha dengan setiap dugaan dariNya.
Jika bukan didunia, mungkin ganjaranmu disyurga sana. Percayalah dengan hebat bahawa Allah sesekali tidak akan mengecewakanmu kerana Dia Maha Adil dan Dia Maha Memberi.
Tidak dapat dinafikan ada ketika kau bertarung dengan perasaan sendiri, rasanya sakit sangat. Apatah lagi pada masa itu orang sekelilingmu seakan tidak memahamimu.
Tidak mengapa duhai hati, sabarlah dan solatlah. Allah sendiri berpesan dalam Al-Quran:
Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.”- (Al-Baqarah: 153)
Tidakkah ayat dariNya itu menggugah jiwamu? Belum cukup tergerakkah dirimu untuk mencuba tips yang Allah ajari?

Lihatlah kehidupan ini dengan teliti, Allah mahu kita belajar..

Pandanglah sesuatu yang terjadi itu dengan positif dan professional serta cubalah belajar dari setiap yang kau perhati. Mungkin dari situ kau dapat ingat Dia.
Ingin saya membawa diri saya dan pembaca semua satu analogi. Mudah-mudahan dengan izinNya ada sedikit kefahaman kita mengenai ujian dalam kehidupan ini.
Kita bayangkan sebuah rumah. Dalam pembuatan rumah sahaja mengambil masa untuk siap. Perlu ada duit (peruntukan kewangan) untuk membeli bahan-bahan seperti simen, paku, pasir, dan sebagainya.
Prosesnya juga banyak dan pelbagai, susun batu bata, mengecat, pasang mozek, dan sebagainya. Kadangkala tukang buat rumah itu berhenti seketika, mungkin sebab panas, penat dan ingin berehat sebentar.
Dan mungkin ada ketika tukang itu tidak dapat bekerja kerana hari itu hujan lebat, dia minta cuti, dia sakit dan bermacam-macam lagi.
Lihat. Untuk membuat rumah saja, mengambil masa dan ada proses-prosesnya  yang harus dilalui. Tersalah sedikit, akan memberi kesanlah kepada rumah kita, kan.
Begitu juga kita dalam kehidupan ini. Mungkin ujian yang hadir ini ialah sebagai turning point kita agar kembali kepadaNya.
Allah beri tempoh yang tertentu untuk kita lalui ujian ini. Pelbagai cara yang kita usahakan dalam melalui ujian itu dan bermacam-macam jenis orang yang kita jumpa.
Mungkin ada masa kau terduduk seketika, mencari ketenangan dariNya, mungkin ada masa kau mengumpul segala kekuatan untuk kembali bangkit dari rasa keputus asaanmu.
Ada masa kau mampu bertahan, namun ada masa kau rebah, tidak tertahan dan airmatamu pun tumpah membasahi pipi. Kau menangis semahumu, kau berdialog semahumu.
Dan Dia adalah saksi segala saksi atas segala yang kau lakukan termasuk yang terlintas dihatimu semasa mendepani ujiannya ini. Dan sampai satu saat, semuanya berakhir, ujian ini Allah izinkan berlalu pergi.

Dan ada ujian yang lain menanti pula.

Beruntunglah orang yang mendapat ujian daripada Allah.
Amat beruntunglah seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan dugaan dalam hidupnya samaada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusuhan, dia semakin dekat dengan pencipta, dia semakin ingat Dia dan sekaligus berazam untuk kembali kepadaNya.
Amat rugilah seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan ujian kepadanya, dia masih ditakuk yang sama. Mengeluh tak berkesudahan. Menyalahkan itu dan ini.
Ujian berbentuk kesenangan atau kesusahan itu adalah sunatullah dalam kehidupan.
Allah menguji setiap hambanya dengan cara yang berbeza, mengikut kadar kemampuan seseorang itu, dan pada masa yang tepat.
Mahu ataupun tidak mahu, kita kena menerima dan menghadapi dugaan yang medatang. Siapa kita untuk mempersoalkan kenapa kita diuji andai selama ini kita selalu memungkiri perintahNya yang diperintahkan kepada kita?
Amat baiknya Allah, dengan ujian yang hadir itu membuat kita lebih matang dan kuat untuk mendepani hari-hari yang mendatang.

Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah, Dia uji kita bersebab.

Mungkin dengan ujian yang hadir itu, Allah nak angkat darjat kita, Allah nak hapus dosa-dosa kita, dan Allah nak beri pahala pada kita.
Maka, senyum dan berbahagialah menjadi insan pilihan yang diujiNya.
Wahai manusia yang mendambakan kebahagiaan didunia dan di akhirat,
Andai dugaan itu menjengukmu, tidak dapat tidak, kita kena rapat dengan Allah. Kekuatan itu milikNya, maka mohon kekuatan dariNya, mengadu segalanya dengan Dia.
Usahakan untuk perbaiki iman. Solat jangan tinggal dan usahakan solat diawal waktu, lazimi juga diri dengan istighfar dan selawat, dan cuba buat ibadah yang kau tak pernah buat/ tak biasa buat seperti solat tahajud, qiamulail, solat dhuha, dan sebagainya.
Dari situ, insya-Allah kau akan terdidik sedikit demi sedikit untuk kuat, sabar dan redha dengan apapun yang terjadi dalam kehidupanmu.
Dari situ kau akan rasa, betapa nikmatnya bergantung harap sepenuhnya pada Allah. Bersabarlah dalam ketaatan untuk beribadah kepadaNya. Moga kesudahan kita semua adalah kesudahan yang baik.
Saya rasa ada benarnya ayat ini:
“Bukan beratnya ujian yang membuat kita lemah, tapi ringannya hubungan kita dengan Allah yang menyebabkan kita seakan tidak dapat menanggungnya.”– (Afdholul Rahman, LangitIllahi.com)

 http://akuislam.com/blog/renungan/berbahagialah-ketika-diuji-oleh-ujian-yang-diberinya/

Thursday, 4 May 2017

Kasih Sayang Tanpa Syarat



Jika semasa hidup di dunia akhlak kita baik dengan sesama manusia, kematian kita akan dirasai sebagai satu kehilangan besar. Oleh sebab itu curahlah kasih sayang kepada seluruh makhluk di dunia ini tanpa syarat, dan untuk berkasih sayang sesama manusia jangan memilih berdasarkan bangsa, keturunan dan statusnya. Kalau kita tidak ada rasa dan sifat kasih sayang, bermakna kita tidak punya apa-apa yang berharga dalam hati kita. Kita perlu berikan kasih sayang, belas kasihan, kebaikan dan kebahagiaan kepada orang sekeliling kita, untuk kita mendapat kembali manfaatnya, sama ada di dunia dan di akhirat.

Sunday, 26 March 2017

MANUSIA TIDAK DAPAT LARI UJIAN, APAKAH PENGAJARAN DISEBALIKNYA?




ADAKAH manusia fikir mereka dibiarkan dengan mengatakan: “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji? Sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka ALLAH pasti mengetahui orang yang benar dan orang yang berdusta.” (Surah Al-Ankabut: 2-3)

Kadangkala, saat diuji kita pasti berasakan kitalah yang paling teruji. Ada yang tidak kurang menyalahkan takdir. Tatkala ALLAH SWT hadirkan ujian dalam kehidupan, kita mengharapkan dugaan itu segera berlalu tanpa berdoa kepada ALLAH untuk hadirkan hadiah jalan keluar dari masalah.

Apabila berdepan dengan ujian, sering kali air mata kita jatuh di sejadah cinta. Sudah pasti kita segera mengadu kepada ALLAH segala keluh kesah kita.

Jika diperhati ayat dari Surah Al-Ankabut itu, ALLAH menyatakan tujuan seseorang manusia itu diuji adalah untuk kita melihat siapakah antara kita yang benar dan yang berdusta.

ALLAH tidak menurunkan sesuatu ujian itu sia-sia. ujian itu adalah tanda kasih sayang-Nya kepada kita.

ALLAH juga timpakan ujian untuk menghapus dosa-dosa yang pernah dilakukan. Bila mana sesuatu ujian itu hadir, ALLAH pasti menjanjikan darjat yang istimewa di sisi-Nya hanya bila kita sabar dan syukur menghadapi ujian yang hadir. ALLAH juga memberi ujian kepada kita untuk memberi pengalaman kepada kita supaya jangan tersilap untuk melangkah ke hadapan.

Ketika perang Uhud, ALLAH menurunkan ujian kepada sahabat dengan keadaan yang hampir kalah. Mereka diuji dengan harta rampasan perang. Ujian ini ALLAH turunkan sebagai pengajaran kepada sahabat dan kita semua supaya nanti tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

Dalam menempuhi ujian dan dugaan yang disediakan, sebenarnya kita mampu mempelajari sesuatu. ALLAH menurunkan ujian berserta hikmah di baliknya. Pelbagai perkara yang kita boleh pelajari dan gali daripada ujian yang dihadapi.

Antara perkara yang boleh kita pelajari ialah dengan ujian yang kita tempuhi, ALLAH sebenarnya mahu kita berfikir dan merasai harapan dalam hidup. Ujian yang menimpa adalah sebagai pengajaran kepada kita.

Apabila ALLAH memberi kita ujian, kita yang diuji ini merasakan ada harapan di balik ujian. Jika kita sakit, harapannya kita sembuh. Jika kita diuji dengan kemiskinan, harapannya akan keluar dari kemelut kemiskinan. Andai diuji dengan anak, sudah pasti harapannya kita mahukan anak kita menjadi anak yang baik.

Harapan inilah rahsia kejayaan bagi manusia. Orang yang hidup tanpa harapan adalah orang yang tiada matlamat dalam hidup. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat...” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Di sini kita dapat lihat di mana ALLAH menceritakan terus kepada hari akhirat. Kepada sesuatu yang jauh. ALLAH tidak menceritakan perkara yang dekat dengan kita, tetapi sesuatu yang cukup jauh, yang perlu kita membuat persiapan untuk sampai kepadanya. Jika tidak, kita tidak mungkin akan sampai.

Begitulah ujian. ALLAH hadirkan supaya kita punya harapan. Bila kita dihimpit dengan pelbagai ujian, kesusahan dan kesulitan, maka kepada siapa kita akan pergi? Manusia ini fitrahnya jika ditimpa kesusahan, kesulitan, dia akan mencari suatu kuasa yang menenangkannya.

Kita akan cari satu kuasa yang kita boleh bersandar padanya. Walaupun seseorang itu tidak mempunyai tuhan sekalipun, inilah fitrahnya. Bagi kita sebagai Muslim, kita meletakkan ALLAH sebagai sandaran yang utama.

Nabi Muhammad SAW sejak mula lagi menyuburkan jiwa sahabat dengan harapan yang sangat hebat iaitu untuk menjadi manusia yang dimuliakan ALLAH di dunia dan di akhirat.

Nabi Muhammad SAW memulakan perjuangan dengan mengangkat kembali syiar Islam sehingga terbangunnya Kota Madinah. Untuk membangunkan Kota Madinah bukan sesuatu yang mudah, ia penuh dengan ujian. Di setiap ujian itu, ada harapan. Dengan harapan itulah kita bergerak ke depan.

Perkara kedua yang kita dapat pelajari daripada ujian yang menimpa ialah kita melihat ujian sebagai sebuah ilmu yang ALLAH ingin tunjukkan kepada kita. Jatuh bangun dalam kehidupan adalah ilmu buat kita. Ada pepatah bijak pandai mengatakan, “Sebelum kita jumpa jalan kebenaran, pasti kita akan tersesat beberapa jalan.”

Seperti hidup kita, sepanjang kita melalui jalan kehidupan, pastinya beberapa kali kita tersasar, tersilap memilih jalan. Waktu kita dalam kesesatan itu, ALLAH hadirkan ujian.

Lalu kita tersentak! Di waktu itu jugalah kita berasa ingin kembali. Melalui jalan inilah ALLAH memberi hidayah kepada kita. ALLAH memberi ujian, dan dalam ujian itu, ALLAH memberi ilmu kepada kita.

Apabila kita diuji, mintalah kepada ALLAH supaya diberi kesabaran dan kefahaman dalam menghadapi setiap ujian yang berlaku. Kita juga harus faham akan takdir ALLAH.

Dalam hidup kita, ada sesuatu yang kita inginkan tetapi tidak kita peroleh dan banyak benda yang kita tidak mahu dalam kehidupan kita tetapi kita peroleh. Itulah yang terbaik buat kita yang kita lihat ia sebagai ujian buat kita.

ALLAH SWT berfirman: “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” (Surah Al-Syarh: 5)

Begitu juga bait-bait lirik lagu ini, “Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan, setelah kabus berlalu pasti cerah kembali.” Ujian takkan selamanya untuk hamba-Nya yang sabar.
Ujian yang diturunkan kepada kita adalah salah satu cara untuk menyemai benih-benih cinta kepada ALLAH.

Ujian yang menimpa terus menerus adalah kerana ALLAH ingin kita kembali kepada-Nya. Inilah salah satu cara untuk kita mengenali ALLAH dan lebih mencintai ALLAH. ALLAH menjanjikan nikmat yang lebih besar kepada manusia di akhirat kelak.

ALLAH berfirman: "... kesenangan di dunia ini hanya sedikit dan akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa...” (Surah An-Nisa': 77)

Bila diberi ujian, di sinilah kita mampu mengenal siapa diri kita yang sebenar. Orang yang kuat iman, yang memahami siapa dirinya yang sebenar, walau sekuat mana ujian yang datang, dia tetap akan tenang. Hatta maut sekalipun, dia terus akan tenang.

Ini kerana dalam jiwanya telah terbangun jiwa yang hebat. Rasa cinta yang begitu hebat untuk bertemu ALLAH. Segala ujian yang kita terima adalah sebuah persiapan untuk menguatkan jiwa kita menuju kepada cinta ALLAH.

Pelbagai hikmah dan pengajaran yang boleh kita kutip daripada setiap ujian yang menimpa. Ia boleh jadi cara untuk membawa kita kepada ALLAH dan hari akhirat.

Bila ujian ditimpa kepada kita, ia adalah salah satu cara untuk menghapus dosa, untuk diberi peningkatan darjat di sisi ALLAH atau sebagai pengalaman kepada kita supaya lebih matang dalam kehidupan.

Thursday, 16 March 2017

Sedekah



JIKA kita suka memberi, kita akan sering menerima. Begitulah gambaran yang terkandung dalam konsep sedekah dalam Islam. Sedekah dalam bahasa Arab disebut shadaqoh bermaksud suatu pemberian diberikan seorang Muslim kepada orang lain secara spontan dan sukarela tanpa dibatasi waktu dan jumlah tertentu.

Juga bermaksud suatu pemberian diberikan seseorang sebagai kebajikan yang mengharap reda ALLAH SWT dan pahala semata-mata. Salah satu pahala sedekah adalah menghindarkan diri kita daripada bencana atau musibah, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: "Bersegeralah bersedekah, sebab bala bencana tidak pernah bisa mendahului sedekah.

Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala bencana dan yang paling ringan adalah penyakit kusta dan sopak." (Riwayat Baihaqi & Thabrani)

Sedekah juga menolak bencana di akhirat, sebagaimana sabda Nabi SAW: "Bentengilah diri kalian dari seksa api neraka meskipun dengan separuh buah kurma." (Muttafaqun 'alaih). "Naungan bagi seorang mukmin pada hari kiamat adalah sedekahnya." (Riwayat Ahmad)

Beri secara ikhlas

Sedekah adalah pemberian ikhlas, sama ada benda itu sesuatu yang kita sayang atau tidak. Asas penting yang perlu ada adalah keikhlasan. Maknanya kita tidak mengharapkan sebarang pembalasan apabila bersedekah. Sedekah lebih menjurus kepada barang seperti makanan dan pakaian yang boleh dimanfaatkan orang lain.

Aisyah RA berkata, Nabi SAW bersabda: "Pemurah (dermawan) itu suatu pohon yang akarnya (asal atau pohonnya) di syurga, dan dahan–dahannya menurun ke dunia. Maka sesiapa berpegang kepadanya, akan ditarik dia ke syurga dan kikir (bakhil) itu pohon yang bibitnya asalnya di neraka. Sedang dahan–dahannya akan ditarik ke neraka."

Hakim bin Hizam RA katanya: "Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) ALLAH akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada ALLAH) ALLAH akan mencukupkannya." (Riwayat Bukhari)

Daripada Abdul Rahman As–Salamani Maula Daripada Umar RA telah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Jika datang seorang meminta–minta maka jangan kamu putuskan permintaanya sehingga selesai permintaannya, kemudian kamu jawab dengan perkataan yang sopan dan lunak, dengan memberi sedikit atau penolakan yang baik, sebab adakalanya yang datang kepadamu itu bukan manusia dan bukan jin hanya sekadar menguji kamu, bagaimana kau berbuat sedemikian terhadap nikmat yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu."

Kelebihan bersedekah secara umum digambarkan dengan indahnya dalam al-Quran. Terdapat banyak sekali ayat suci yang menerangkan perihal kelebihan memberi sedekah.

Dalam kitab Tanbihul Ghafilin, (2012), Abul Laits RA berkata: "Bersedekahlah dengan yang sedikit atau banyak, sebab sedekah itu mengandungi sepuluh kebaikan, iaitu lima di dunia dan lima lagi di akhirat."

Adapun lima kebaikan di dunia dan di akhirat untuk orang yang bersedekah adalah:

DI DUNIA
1. Membersihkan harta kekayaan.
2. Membersihkan badan daripada dosa–dosa.
3. Menolak bala dan penyakit.
4. Menyenangkan hati golongan miskin. Sedangkan sebaik– baik amal adalah menyenangkan orang mukmin.
5. Menjadikan harta semakin berkat dan luasnya rezeki.

DI AKHIRAT
1. Sedekah itu akan menjadi naungan kepada pemberi sedekah.
2. Sedekah itu akan meringankan hisab perhitungan amalnya.
3. Memberatkan timbangan amal kebaikannya di akhirat.
4. Memudahkan menyeberangi titian (sirat).
5. Meningkatkan darjat (kedudukan) di syurga kelak.
Tujuh perkara yang dapat menumbuhkan sedekah dan membesarkan pahala:
1. Mengeluarkannya daripada harta yang halal.
2. Menginfakkan harta kita walaupun sedikit.
3. Menimbulkan kebimbangan dan khuatir dalam hati sekiranya tidak berpeluang bersedekah.
4. Memilih apa yang paling terbaik kerana bimbang jika termasuk dalam golongan bakhil.
5. Memberikan sedekah dengan cara bersembunyi kerana bimbang termasuk dalam golongan yang riyak.
6. Tidak menghina da mencela kepada yang diberi takut berdosa
7. Keajaiban bersedekah dapat tolak bala.

Ajaibnya amalan bersedekah

Terdapat kisah benar perihal keajaiban sedekah boleh menolak bala dipetik daripada buku Musthofa Syaikh Ibrohim Haggi berjudul Tolak Bala: Menepis Bencana dengan Lantunan Doa. Dalam penulisan buku tersebut penulis mengisahkan sepasang suami isteri yang berniaga kuih–muih. Pasangan itu mempunyai seorang anak yang masih bersekolah. Suatu hari, anaknya ditimpa kemalangan sehingga koma selama lima hari kerana mengalami kemalangan yang teruk. Tidak berapa lama anaknya terjaga dari koma dan boleh meneruskan sesi pembelajaran seperti sediakala di sekolah.

Selain itu, keluarga ini juga memperoleh wang simpanan sebanyak lima belas juta rupiah, dan kos perubatan yang telah mereka keluarkan sebanyak lapan juta, sehingga masih ada baki wang yang cukup untuk keperluan keluarga.

Ketika mereka berdua memulakan perniagaan kuih–muih di pasar (semenjak 35 tahun yang lalu), suami isteri itu selalu bersedekah.

Penulis membayangkan setiap cubaan dan musibah yang menimpa keluarga tersebut terselit pengajaran yang dapat diambil iaitu mereka sekeluarga masih lagi mendapat nikmat yang masih berbaki daripada wang simpanan dan anak mereka masih dalam keadaan sihat walafiat tidak kurang satu apa pun seperti sedia kala.

NABIHAH YUSOF - Penulis adalah pembaca Rehal dari Kelantan

Friday, 2 December 2016

Kelebihan Beistighfar



Beristighfar ialah mengucapkan perkataan Astaghfirullah hal Azim. (Aku mohon keampunan daripada Allah yang Maha Agung) diikuti dengan meminta ampun dengan ucapan dan perbuatan. Dari segi perbuatan, ialah meninggalkan kesalahan yang telah kita lakukan. Allah akan mengampunkan kesalahan kita sebagaimana firman Allah bermaksud, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.” (Nuh: 10)

Dalam Al-Quran, terdapat nas yang menunjukkan bahawa dengan istighfar dan bertaubat kepada Allah, termasuk diantara sebab-sebab diturunkan rezeki dan dikurniakan rahmat Allah.

Tuesday, 8 November 2016

RAHSIA SEDEKAH

Ada beberapa rahsia untuk menjadi kaya tanpa kita duga. Banyakkan bersedekah. Berikut ini beberapa dalil yang menyatakan dengan bersedekah, seseorang itu boleh menjadi kaya atau dimurahkan rezekinya.

Sedekah Menjadi Sebab Allah Membuka Pintu Rezeki

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” H.R. ad-Daruquthni dari Anas r.a.
Sedekah digandakan 700 kali ganda.
Fadhilat bagi orang yang bersedekah amat besar seperti mana terdapat keterangan di dalam al-Quran dan hadis. Jika kita amat amati ayat al-Quran berikut, kita akan dapat mengira bahawa sekurang-kurangnya setiap harta yang dikeluarkan ke jalan Allah akan dibalas dengan kiraan melebihi 700 kali ganda. Selain itu, mereka dijandikan dengan kehidupan yang mudah:
Allah Ta’ala berfirman: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui” . (Al Baqarah (2) : 261)
Allah Lipat-gandakan Ganjaran orang yang Bersedekah.
“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Qs. Al Hadid: 18)
Rezeki dimurahkan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti akan ditunjuki kepada mereka jalan keluar. Dan diberi rezeki kepada mereka daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupi baginya”. (At-Talaq:2-3)
Di dunia, mereka yang bersedekah akan dimurahkan rezeki oleh Allah dalam kehidupannya. Faedah ini dijelaskan oleh Jabir Abdullah katanya: “Rasulullah berucap kepada kami, sabdanya: Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk (dengan yang lain), dan jalinkanlah hubungan di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan sentiasa mengingatinya (berzikir) dan banyakkan bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (terhadap musuh dan digantikan dengan apa yang kamu dermakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Keberkatan Dalam Rezeki.
Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya  keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.
Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman ‘Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?’ Nabi Ayub mejawab ‘Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu’. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.
Kaya Jiwa
Kekayaan bukanlah sesuatu yang harus diidam-idamkan oleh seseorang Islam kerana kekayaan boleh membawa kerosakan kepada seseorang sekiranya tidak menurut jalan yang betul. Islam lebih melihat kekayaan dari segi kekayaan jiwa. Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Kekayaan itu bukanlah kerana mempunyai banyak harta tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan jiwa. (Sahih Muslim.)
Dari aspek harta-benda, kekayaan jika disalurkan ke jalan yang betul akan memberi seseoang pahala yang banyak, terutamanya jika digunakan untuk bersedekah.
Berzikir dan Banyak Bersedekah dalam Sembunyi dan Terang
Hadis berikut ini pula menyeru kita agar rajin bersedekah kerana Allah akan memberi kita rezeki dan kesenangan melalui bersedekah. “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah, sebelum kamu mati. Bersegeralah melakukan amalan amalan salih sebelum kamu kesibukan dan hubungilah antara kamu dengan Tuhan kamu dengan membanyakkan sebutan (zikir) kamu kepadaNya dan banyak bersedekah dalam bersembunyi dan terang-terangan, nanti kamu akan diberi rezeki, ditolong dan diberi kesenangan.” H.R Ibnu Majah.

https://rahsiasedekah.wordpress.com/bersedekah-menyebabkan-kita-kaya/

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Coupons