JIKA kita suka memberi, kita akan sering menerima. Begitulah gambaran yang terkandung dalam konsep sedekah dalam Islam. Sedekah dalam bahasa Arab disebut shadaqoh bermaksud suatu pemberian diberikan seorang Muslim kepada orang lain secara spontan dan sukarela tanpa dibatasi waktu dan jumlah tertentu.
Juga bermaksud suatu pemberian diberikan seseorang sebagai kebajikan yang mengharap reda ALLAH SWT dan pahala semata-mata. Salah satu pahala sedekah adalah menghindarkan diri kita daripada bencana atau musibah, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: "Bersegeralah bersedekah, sebab bala bencana tidak pernah bisa mendahului sedekah.
Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala bencana dan yang paling ringan adalah penyakit kusta dan sopak." (Riwayat Baihaqi & Thabrani)
Sedekah juga menolak bencana di akhirat, sebagaimana sabda Nabi SAW: "Bentengilah diri kalian dari seksa api neraka meskipun dengan separuh buah kurma." (Muttafaqun 'alaih). "Naungan bagi seorang mukmin pada hari kiamat adalah sedekahnya." (Riwayat Ahmad)
Beri secara ikhlas
Sedekah adalah pemberian ikhlas, sama ada benda itu sesuatu yang kita sayang atau tidak. Asas penting yang perlu ada adalah keikhlasan. Maknanya kita tidak mengharapkan sebarang pembalasan apabila bersedekah. Sedekah lebih menjurus kepada barang seperti makanan dan pakaian yang boleh dimanfaatkan orang lain.
Aisyah RA berkata, Nabi SAW bersabda: "Pemurah (dermawan) itu suatu pohon yang akarnya (asal atau pohonnya) di syurga, dan dahan–dahannya menurun ke dunia. Maka sesiapa berpegang kepadanya, akan ditarik dia ke syurga dan kikir (bakhil) itu pohon yang bibitnya asalnya di neraka. Sedang dahan–dahannya akan ditarik ke neraka."
Hakim bin Hizam RA katanya: "Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) ALLAH akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada ALLAH) ALLAH akan mencukupkannya." (Riwayat Bukhari)
Daripada Abdul Rahman As–Salamani Maula Daripada Umar RA telah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Jika datang seorang meminta–minta maka jangan kamu putuskan permintaanya sehingga selesai permintaannya, kemudian kamu jawab dengan perkataan yang sopan dan lunak, dengan memberi sedikit atau penolakan yang baik, sebab adakalanya yang datang kepadamu itu bukan manusia dan bukan jin hanya sekadar menguji kamu, bagaimana kau berbuat sedemikian terhadap nikmat yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu."
Kelebihan bersedekah secara umum digambarkan dengan indahnya dalam al-Quran. Terdapat banyak sekali ayat suci yang menerangkan perihal kelebihan memberi sedekah.
Dalam kitab Tanbihul Ghafilin, (2012), Abul Laits RA berkata: "Bersedekahlah dengan yang sedikit atau banyak, sebab sedekah itu mengandungi sepuluh kebaikan, iaitu lima di dunia dan lima lagi di akhirat."
Adapun lima kebaikan di dunia dan di akhirat untuk orang yang bersedekah adalah:
DI DUNIA
1. Membersihkan harta kekayaan.
2. Membersihkan badan daripada dosa–dosa.
3. Menolak bala dan penyakit.
4. Menyenangkan hati golongan miskin. Sedangkan sebaik– baik amal adalah menyenangkan orang mukmin.
5. Menjadikan harta semakin berkat dan luasnya rezeki.
DI AKHIRAT
1. Sedekah itu akan menjadi naungan kepada pemberi sedekah.
2. Sedekah itu akan meringankan hisab perhitungan amalnya.
3. Memberatkan timbangan amal kebaikannya di akhirat.
4. Memudahkan menyeberangi titian (sirat).
5. Meningkatkan darjat (kedudukan) di syurga kelak.
Tujuh perkara yang dapat menumbuhkan sedekah dan membesarkan pahala:
1. Mengeluarkannya daripada harta yang halal.
2. Menginfakkan harta kita walaupun sedikit.
3. Menimbulkan kebimbangan dan khuatir dalam hati sekiranya tidak berpeluang bersedekah.
4. Memilih apa yang paling terbaik kerana bimbang jika termasuk dalam golongan bakhil.
5. Memberikan sedekah dengan cara bersembunyi kerana bimbang termasuk dalam golongan yang riyak.
6. Tidak menghina da mencela kepada yang diberi takut berdosa
7. Keajaiban bersedekah dapat tolak bala.
Ajaibnya amalan bersedekah
Terdapat kisah benar perihal keajaiban sedekah boleh menolak bala dipetik daripada buku Musthofa Syaikh Ibrohim Haggi berjudul Tolak Bala: Menepis Bencana dengan Lantunan Doa. Dalam penulisan buku tersebut penulis mengisahkan sepasang suami isteri yang berniaga kuih–muih. Pasangan itu mempunyai seorang anak yang masih bersekolah. Suatu hari, anaknya ditimpa kemalangan sehingga koma selama lima hari kerana mengalami kemalangan yang teruk. Tidak berapa lama anaknya terjaga dari koma dan boleh meneruskan sesi pembelajaran seperti sediakala di sekolah.
Selain itu, keluarga ini juga memperoleh wang simpanan sebanyak lima belas juta rupiah, dan kos perubatan yang telah mereka keluarkan sebanyak lapan juta, sehingga masih ada baki wang yang cukup untuk keperluan keluarga.
Ketika mereka berdua memulakan perniagaan kuih–muih di pasar (semenjak 35 tahun yang lalu), suami isteri itu selalu bersedekah.
Penulis membayangkan setiap cubaan dan musibah yang menimpa keluarga tersebut terselit pengajaran yang dapat diambil iaitu mereka sekeluarga masih lagi mendapat nikmat yang masih berbaki daripada wang simpanan dan anak mereka masih dalam keadaan sihat walafiat tidak kurang satu apa pun seperti sedia kala.
NABIHAH YUSOF - Penulis adalah pembaca Rehal dari Kelantan
0 comments:
Post a Comment