Monday, 9 September 2013

Hubungan yang baik dengan ALLAH, akan memberikan ketenangan.



Hubungan yang baik dengan ALLAh, akan memberikan ketenangan.

Ya. Saya percaya sangat dengan itu. Adakalanya, manusia bersedih atas suatu sebab yang manusia itu sendiri tidak ketahui. Ada pula yang bergembira, tetapi sebenarnya kegembiraannya itu diselimuti kedukaan. Bibirnya mengukir tawa, hatinya menanggung hiba. Ada sahaja yang tidak kena. Mengapa ya.

Ada masa, manusia melalui hari-hari yang gelap atau suram dalam kehidupannya. Dan dia sendiri tidak tahu apa puncanya. Semua kerja sudah dilakukan, namun ada sahaja yang tidak kena dan sempurna dihatinya. Ada kegelisahan dan kekosongan yang terdapat disudut hati. Apa itu sebenarnya?

Lalu berusaha mencari apa puncanya.

Apa itu sebenarnya? Hubungan dengan ALLAH SWT.



Hati Yang Tenang, ALLAh Yang Beri

Semasa membaca terjemahan Al-Quran dan membelek-beleknya, ALLAh terus mengizinkan saya menatap ayat ini. Makanya, saya katakan ALLAh itu sangat memahami. Tidak perlu untuk kita melaungkan sekuat hati akan apa yang kita rasai. Cukup hati kita berkata-kata sepi, ALLAh Maha Mendengar.

“Ketahuilah bahawa dengan mengingati ALLAh itu, hati akan menjadi tenang.” – ar Ra’ad : 28

Benar.

Jika dalam dunia ini anda menjadi jutawan yang tersohor, anda dikelilingi oleh kawan-kawan yang hebat, anda disanjung-sanjung, anda dimuliakan oleh manusia.. Tetapi, jika hati anda tidak mengingati ALLAh, maka ALLAh tidak akan memberikan ketenangan kepada anda. Ada sahaja kekosongan didalam hati kecil anda itu.

Anda mungkin boleh menipu manusia dengan wajah gembira anda, tetapi tidak jiwa anda yang fitrahnya sebagai jiwa hamba. Jiwa anda itu memerlukan ketenangan yang bersumberkan daripada mengingati ALLAh.

ALLAh akan memberikan ketenangan hati itu melalui pelbagai cara.

Bukanlah mengingati ALLAh sentiasa itu bermaksud anda sentiasa beruzlah, menyendiri di masjid hanya dengan berzikir dan menjauhi orang ramai. Tidak. Boleh jadi ALLAh memberikan ketenangan kepada anda apabila anda bersahabat dan duduk bersama-sama dengan orang-orang yang beriman.

Malah ketika anda mengalihkan duri dari sebuah jalan, dan itu kerana ALLAh, maka ALLAh akan memberikan ketenangan kepada jiwa. Hatta sekecil perkara kebaikan pun yang kita lakukan, maka ALLAh tidak akan terlepas pandang untuk menilainya.

Dan jika semua perbuatan kita berpaksikan ALLAh, inshaALLAh, ketenangan yang diperolehi itu lebih tenang daripad aliran sungai nil. MashaALLAH.

Menjalin Hubungan Ketenangan Dengan ALLAh

Mengingati ALLAh itu adalah apabila setiap apa yang kita lakukan, kita sentiasa mengarahkan hati kita kepada-Nya. Anda ingin melangkah ke tempat pengajian, anda ingin bertemu dengan sahabat-sahabat, anda ingin menulis, anda ingin bersenam, anda ingin makan, bahkan ketika anda ingin mandi.

Malah, ketika anda terdetik ingin melakukan dosa sekalipun. Apabila anda mematikan niat ALLAh dengan mengingati ALLAh, maka pasti ALLAh berikan ketenangan dan lorongkan hati anda ke jalan yang benar dan secara sendirinya, anda tidak sempat untuk meneruskan niat anda.

Sahabat, cuba kita perhatikan. Bukankah ALLAh itu sentiasa menemani kita?

Ada masanya, kita lalai daripada mengingati ALLAh, tapi ALLAh tidak terus-menerus membiarkan kita melupainya. Pasti ada sahaja cara ALLAh tersendiri untuk mengingatkan diri kita, bahawa ALLAh itu sentiasa ingat pada hamba-Nya.

Maka, layakkah kita tidak mengingati ALLAh?

Saya malu dengan ALLAh. Sahabat, mari hayati kalamullah ini..

“Kami tidak meminta daripada kamu rezeki, bahkan Kamilah yang memberikan rezeki kepada Kamu.” – Thaha : 132

Hendakkan Ketenangan Hati, Berbaiklah-baiklah Dengan ALLAh

Manusia, apabila menginginkan sesuatu, pasti dia menjaga kelakuan dan segala apa yang dikerjakannya. Maka begitulah juga hubungan kita dengan ALLAh, jika kita ingin meraih cinta ALLAh dan ketenangan darinya, hendaklah kita menjadi seseorang yang layak untuk dipandang oleh ALLAH SWT.

Bagaimana? Cuba mengingati ALLAh semaksima mungkin.

Kenapa saya katakan cuba? Sebab saya tahu kita sedang berusaha. Atau saya mengambil contoh atas diri saya sendiri, saya masih bertatih dan masih mendidik diri untuk berusaha agar menjadi seorang yang layak menjadi seorang hamba yang benar-benar hamba.

“Jika kamu hendak menghitung nikmat-nikmat ALLAh, nescaya tidak akan terhitung oleh kamu.” – Ibrahim : 34

ALLAh sudah memberikan nikmat yang ada dalam kehidupan ini kepada kita. Jadi, mengapa tidak kita sebagai hamba-Nya mencuba untuk menjadi terbaik dimata ALLAh? Memang bukan perkara yang senang, tetapi ALLAh juga pernah berjanji bahawa sesiapa diantara hamba-Nya yang berusaha menuju jalannya, maka ALLAh akan mempermudahkan bagi hamba-Nya dengan sifat Kebesaran yang ada pada ALLAh SWT.

Ketenangan itu, lahir daripada hubungan baik dengan ALLAh. Maka, apa yang perlu kita lakukan? Berusaha. Ya, berusaha memperbaiki diri dan hati agar terus menjadi seorang hamba yang soleh dan solehah.

Pandangan buruk manusia? Ketepikan. Itu sebahagian permainan dunia.

Hei sahabat, saya menginginkan ketenangan. Moga kamu juga begitu. Maka, apa kata kita berpimpin tangan saling mengingati ALLAh? Kita saling membantu. Tidak mustahil itu, kerana ALLAh sentiasa ada.

Peringatan untuk saya terutamanya.

Semoga ALLAh merahmati.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Coupons