Monday, 2 March 2015

MURAH HATI, TINGGI BUDI




Peribahasa Melayu ada mengatakan, "Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa." Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kita berbudi dan menjaga budi pekerti, yang kedua-duanya itu datang daripada hati. Daripada hati yang baik, bersih dan ikhlas akan lahir perasaan dan tindakan yang positif.

Orang yang murah hati dan tinggi budi akan melakukan tiga perkara apabila bertemu dengan seseorang, baik yang dikenali atau yang baru dikenalinya. Pertama, buat orang yang kita jumpa itu berasa seronok dan sayang akan kita, hingga dia berasa tidak puas bersama-sama kita dan mengharapkan akan bertemu lagi dengan kita pada masa yang lain.

Hal ini bermakna, apabila kita bertemu seseorang carilah kebaikan yang ada dalam dirinya, bukan mencari kelemahan dan keburukannya. Bermurah hati untuk memujinya dengan ikhlas, bukan sekadar untuk menyedapkan hatinya dengan pujian kita yang muluk-muluk atau bertujuan membodek. Elakkan sama sekali mengkritik yang boleh menjatuhkan air muka orang. Jika perlu memberikan pandangan, berikanlah pandangan yang ikhlas dan berhemah dengan bahasa dan budi pekerti yang lembut.

Kedua, biar orang yang kita jumpa itu berasa dia baik dan penting buat diri kita. Sebut kebaikannya nyatakan kita bertuah dapat bertemunya, dan kita mengharapkan pertemuan itu bukan pertemuan terakhir. Tunjukkan kita tidak berasa terganggu dengan kunjungannya, sebaliknya kehadirannya sebagai satu rahmat dan amat dinanti-nantikan, serta amat memberikan makna dan menggembirakan kita.

Ketiga, jadilah kita seorang pemberi bukan penerima. Jom audit diri kita, adakah kita suka menjadi pemberi atau penerima? Amalan suka memberi ini adalah amalan hidup Nabi Muhammad SAW, kerana tangan yang di atas lebih mulia daripada tangan yang di bawah. Ubah persepsi bahawa kita hanya boleh memberi jika kita memiliki, dan tanggungjawab suka memberi itu hanya untuk orang yang berharta.

Sebenarnya pemberian bukan sekadar dalam bentuk barang fizikal yang kita nampak dan boleh diukur nilainya serta terhad sifatnya, kerana pemberian juga boleh dalam bentuk bukan fizikal. Iaitu seperti pujian, penghormatan dan kasih sayang, yang banyak mana pun kita beri tidak akan habis, kerana semuanya itu datang daripada hati dan perasaan serta tidak terhad.

Cuba audit diri, mengapakah susah sangat kita hendak memuji orang dan menghargai orang? Sedangkan kedua-dua perkara itu tidak bermodal untuk kita melakukannya, cuma perlu diucap oleh mulut yang terzahir daripada hati. Terutama jika kita seorang ketua, puji dan hargailah pekerja kita, kerana pujian dan penghargaan menaikkan semangat dan menambahkan tenaganya.

Orang yang pemurah hati dan tinggi budi, suka menghargai orang bukan mengharapkan dihargai serta sibuk memberikan perhatian kepada orang, bukan kita sibuk mencari perhatian orang. Kalau kita payah memuji dan menghargai orang, bermakna kita kurang kasih sayang dan harga diri, kerana prinsipnya hanya orang yang ada boleh memberi, iaitu konsep "ADA - BERI - DAPAT."

Orang yang tinggi budi mesti bermula dengan sifat bermurah hati. Untuk menjadi seorang yang bermurah hati mesti menjaga tiga perkara ini. Pertama, kasih sayang tanpa syarat kepada semua makhluk Allah. Maksudnya kita bukan baik atau sayang seseorang itu kerana dia baik dan sayang akan kita.

Biarpun dia tidak pernah berbuat baik dan menyayangi kita, bahkah dia sentiasa menyusahkan kita, kita tidak membalasnya dengan kebencian. Hakikatnya perkara yang paling payah untuk kita lakukan adalah untuk berbuat baik dengan orang yang tidak pernah berbuat baik kepada kita, tetapi hal ini adalah perkara yang mudah dilakukan oleh orang yang tinggi budi.

Kedua, sifat memaafkan. Orang yang tinggi budi akan bermurah hati untuk memaafkan orang, dengan berpegang kepada prinsip; lupakan kebaikan kita kepada orang dan lupakan kejahatan orang kepada kita serta ingatkan kebaikan orang kepada kita. Dengan berpegang kepada prinsip ini kita akan menjadi ikhlas dan tidak akan mengungkit-ngungkit atau berdendam kepada orang.

Prinsip

Ketiga, orang yang tinggi budi tidak suka bersaing tetapi suka bekerjasama dengan berpegang kepada prinsip bahawa semuanya milik Allah. Kita tidak perlu mengakui bahawa apa-apa yang kita miliki adalah kerana kehebatan kita. Seorang ketua tidak boleh berasakan dirinya hebat; apabila telah berjaya menjawat jawatan tinggi, berubah lakunya menjadi sombong, bongkak dan terlalu keras dengan pekerjanya.

Ingatlah kehebatan seorang ketua itu adalah kerana kehebatan pekerjanya yang menjadi landasannya. Seorang ketua yang tinggi budinya akan berlemah lembut dengan pekerjanya, dan sentiasa berasa bahawa kejayaan tidak akan berlaku jika tidak disertai dengan sokongan dan kehebatan pekerjanya.

Bagaimanakah untuk menjadi orang yang murah hati dan tinggi budi? Konsep pemikiran 'Reset Minda' menekankan kepada kepentingan menjaga tiga perkara, iaitu apa yang diperkatakan oleh mulut, apa yang difikirkan oleh minda dan apa yang dibisikkan oleh hati.

Oleh itu setiap kali bangun pagi, fikirkan apakah kebaikan yang boleh saya buat untuk orang hari ini. Maknanya sentiasa bertanya kepada diri sendiri, apakah yang boleh saya beri bukan apa yang boleh saya dapat, insya-Allah cara ini akan menanamkan imej bermurah hati dan tinggi budi dalam minda bawah sedar kita.

Kedua, sentiasalah berasa bersyukur kepada Allah atas kesedaran bahawa apa-apa yang kita miliki, bukan kerana kehebatan kita, tetapi kerana kehebatan Allah Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Penyayang yang setiap takdir makhluk-Nya terletak dalam genggaman-Nya.

Kelebihan orang yang bermurah hati, pertama, mendapat hasil kehidupan yang sangat positif. Iaitu badan sihat, hati tenang dan bahagia. Kekayaan akan semakin bertambah. Percayalah dengan bersedekah akan menghilang musibah dan melipat gandakan rezeki. Orang yang bersedekah akan mendapat doa daripada orang yang menerima sedekahnya.

Kedua, orang yang terang mata hatinya akan nampak hasil yang jauh, iaitu hasil kehidupan di akhirat, kerana apa yang kita tuai di akhirat nanti adalah apa yang kita semai semasa kita hidup di dunia. Orang yang memikirkan ekonomi akhirat akan mengamalkan formula, "DAPAT 100 - BERI 90 - SIMPAN 10". Maknanya kita membelanjakan 90 peratus daripada pendapatan kita untuk tujuan bekalan hidup di akhirat, cuma 10 peratus sahaja daripada pendapatnya digunakan untuk diri sendiri.

Orang yang murah hati dan tinggi budi, segala yang dilakukannya dengan keikhlasan hati. Bagi memupukkan rasa keikhlasan hati, apa-apa yang kita lakukan kita tidak mengharapkan langsung balasan orang, dikenang orang dan dihargai orang. Yang kita harapkan hanyalah keredaan Allah.

Sesungguhnya kita tidak sempurna selagi kita tidak menolong orang yang tidak boleh menolong kita semula, dan selagi kita tidak menolong orang yang tidak tahu siapa yang memberi kepadanya, (tangan kanan memberi tangan kiri disembunyi, yang tahu hanya Ilahi). "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak."
muhaya

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Coupons