Sunday, 26 March 2017

MANUSIA TIDAK DAPAT LARI UJIAN, APAKAH PENGAJARAN DISEBALIKNYA?




ADAKAH manusia fikir mereka dibiarkan dengan mengatakan: “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji? Sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka ALLAH pasti mengetahui orang yang benar dan orang yang berdusta.” (Surah Al-Ankabut: 2-3)

Kadangkala, saat diuji kita pasti berasakan kitalah yang paling teruji. Ada yang tidak kurang menyalahkan takdir. Tatkala ALLAH SWT hadirkan ujian dalam kehidupan, kita mengharapkan dugaan itu segera berlalu tanpa berdoa kepada ALLAH untuk hadirkan hadiah jalan keluar dari masalah.

Apabila berdepan dengan ujian, sering kali air mata kita jatuh di sejadah cinta. Sudah pasti kita segera mengadu kepada ALLAH segala keluh kesah kita.

Jika diperhati ayat dari Surah Al-Ankabut itu, ALLAH menyatakan tujuan seseorang manusia itu diuji adalah untuk kita melihat siapakah antara kita yang benar dan yang berdusta.

ALLAH tidak menurunkan sesuatu ujian itu sia-sia. ujian itu adalah tanda kasih sayang-Nya kepada kita.

ALLAH juga timpakan ujian untuk menghapus dosa-dosa yang pernah dilakukan. Bila mana sesuatu ujian itu hadir, ALLAH pasti menjanjikan darjat yang istimewa di sisi-Nya hanya bila kita sabar dan syukur menghadapi ujian yang hadir. ALLAH juga memberi ujian kepada kita untuk memberi pengalaman kepada kita supaya jangan tersilap untuk melangkah ke hadapan.

Ketika perang Uhud, ALLAH menurunkan ujian kepada sahabat dengan keadaan yang hampir kalah. Mereka diuji dengan harta rampasan perang. Ujian ini ALLAH turunkan sebagai pengajaran kepada sahabat dan kita semua supaya nanti tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

Dalam menempuhi ujian dan dugaan yang disediakan, sebenarnya kita mampu mempelajari sesuatu. ALLAH menurunkan ujian berserta hikmah di baliknya. Pelbagai perkara yang kita boleh pelajari dan gali daripada ujian yang dihadapi.

Antara perkara yang boleh kita pelajari ialah dengan ujian yang kita tempuhi, ALLAH sebenarnya mahu kita berfikir dan merasai harapan dalam hidup. Ujian yang menimpa adalah sebagai pengajaran kepada kita.

Apabila ALLAH memberi kita ujian, kita yang diuji ini merasakan ada harapan di balik ujian. Jika kita sakit, harapannya kita sembuh. Jika kita diuji dengan kemiskinan, harapannya akan keluar dari kemelut kemiskinan. Andai diuji dengan anak, sudah pasti harapannya kita mahukan anak kita menjadi anak yang baik.

Harapan inilah rahsia kejayaan bagi manusia. Orang yang hidup tanpa harapan adalah orang yang tiada matlamat dalam hidup. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat...” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Di sini kita dapat lihat di mana ALLAH menceritakan terus kepada hari akhirat. Kepada sesuatu yang jauh. ALLAH tidak menceritakan perkara yang dekat dengan kita, tetapi sesuatu yang cukup jauh, yang perlu kita membuat persiapan untuk sampai kepadanya. Jika tidak, kita tidak mungkin akan sampai.

Begitulah ujian. ALLAH hadirkan supaya kita punya harapan. Bila kita dihimpit dengan pelbagai ujian, kesusahan dan kesulitan, maka kepada siapa kita akan pergi? Manusia ini fitrahnya jika ditimpa kesusahan, kesulitan, dia akan mencari suatu kuasa yang menenangkannya.

Kita akan cari satu kuasa yang kita boleh bersandar padanya. Walaupun seseorang itu tidak mempunyai tuhan sekalipun, inilah fitrahnya. Bagi kita sebagai Muslim, kita meletakkan ALLAH sebagai sandaran yang utama.

Nabi Muhammad SAW sejak mula lagi menyuburkan jiwa sahabat dengan harapan yang sangat hebat iaitu untuk menjadi manusia yang dimuliakan ALLAH di dunia dan di akhirat.

Nabi Muhammad SAW memulakan perjuangan dengan mengangkat kembali syiar Islam sehingga terbangunnya Kota Madinah. Untuk membangunkan Kota Madinah bukan sesuatu yang mudah, ia penuh dengan ujian. Di setiap ujian itu, ada harapan. Dengan harapan itulah kita bergerak ke depan.

Perkara kedua yang kita dapat pelajari daripada ujian yang menimpa ialah kita melihat ujian sebagai sebuah ilmu yang ALLAH ingin tunjukkan kepada kita. Jatuh bangun dalam kehidupan adalah ilmu buat kita. Ada pepatah bijak pandai mengatakan, “Sebelum kita jumpa jalan kebenaran, pasti kita akan tersesat beberapa jalan.”

Seperti hidup kita, sepanjang kita melalui jalan kehidupan, pastinya beberapa kali kita tersasar, tersilap memilih jalan. Waktu kita dalam kesesatan itu, ALLAH hadirkan ujian.

Lalu kita tersentak! Di waktu itu jugalah kita berasa ingin kembali. Melalui jalan inilah ALLAH memberi hidayah kepada kita. ALLAH memberi ujian, dan dalam ujian itu, ALLAH memberi ilmu kepada kita.

Apabila kita diuji, mintalah kepada ALLAH supaya diberi kesabaran dan kefahaman dalam menghadapi setiap ujian yang berlaku. Kita juga harus faham akan takdir ALLAH.

Dalam hidup kita, ada sesuatu yang kita inginkan tetapi tidak kita peroleh dan banyak benda yang kita tidak mahu dalam kehidupan kita tetapi kita peroleh. Itulah yang terbaik buat kita yang kita lihat ia sebagai ujian buat kita.

ALLAH SWT berfirman: “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” (Surah Al-Syarh: 5)

Begitu juga bait-bait lirik lagu ini, “Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan, setelah kabus berlalu pasti cerah kembali.” Ujian takkan selamanya untuk hamba-Nya yang sabar.
Ujian yang diturunkan kepada kita adalah salah satu cara untuk menyemai benih-benih cinta kepada ALLAH.

Ujian yang menimpa terus menerus adalah kerana ALLAH ingin kita kembali kepada-Nya. Inilah salah satu cara untuk kita mengenali ALLAH dan lebih mencintai ALLAH. ALLAH menjanjikan nikmat yang lebih besar kepada manusia di akhirat kelak.

ALLAH berfirman: "... kesenangan di dunia ini hanya sedikit dan akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa...” (Surah An-Nisa': 77)

Bila diberi ujian, di sinilah kita mampu mengenal siapa diri kita yang sebenar. Orang yang kuat iman, yang memahami siapa dirinya yang sebenar, walau sekuat mana ujian yang datang, dia tetap akan tenang. Hatta maut sekalipun, dia terus akan tenang.

Ini kerana dalam jiwanya telah terbangun jiwa yang hebat. Rasa cinta yang begitu hebat untuk bertemu ALLAH. Segala ujian yang kita terima adalah sebuah persiapan untuk menguatkan jiwa kita menuju kepada cinta ALLAH.

Pelbagai hikmah dan pengajaran yang boleh kita kutip daripada setiap ujian yang menimpa. Ia boleh jadi cara untuk membawa kita kepada ALLAH dan hari akhirat.

Bila ujian ditimpa kepada kita, ia adalah salah satu cara untuk menghapus dosa, untuk diberi peningkatan darjat di sisi ALLAH atau sebagai pengalaman kepada kita supaya lebih matang dalam kehidupan.

Thursday, 16 March 2017

Sedekah



JIKA kita suka memberi, kita akan sering menerima. Begitulah gambaran yang terkandung dalam konsep sedekah dalam Islam. Sedekah dalam bahasa Arab disebut shadaqoh bermaksud suatu pemberian diberikan seorang Muslim kepada orang lain secara spontan dan sukarela tanpa dibatasi waktu dan jumlah tertentu.

Juga bermaksud suatu pemberian diberikan seseorang sebagai kebajikan yang mengharap reda ALLAH SWT dan pahala semata-mata. Salah satu pahala sedekah adalah menghindarkan diri kita daripada bencana atau musibah, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: "Bersegeralah bersedekah, sebab bala bencana tidak pernah bisa mendahului sedekah.

Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala bencana dan yang paling ringan adalah penyakit kusta dan sopak." (Riwayat Baihaqi & Thabrani)

Sedekah juga menolak bencana di akhirat, sebagaimana sabda Nabi SAW: "Bentengilah diri kalian dari seksa api neraka meskipun dengan separuh buah kurma." (Muttafaqun 'alaih). "Naungan bagi seorang mukmin pada hari kiamat adalah sedekahnya." (Riwayat Ahmad)

Beri secara ikhlas

Sedekah adalah pemberian ikhlas, sama ada benda itu sesuatu yang kita sayang atau tidak. Asas penting yang perlu ada adalah keikhlasan. Maknanya kita tidak mengharapkan sebarang pembalasan apabila bersedekah. Sedekah lebih menjurus kepada barang seperti makanan dan pakaian yang boleh dimanfaatkan orang lain.

Aisyah RA berkata, Nabi SAW bersabda: "Pemurah (dermawan) itu suatu pohon yang akarnya (asal atau pohonnya) di syurga, dan dahan–dahannya menurun ke dunia. Maka sesiapa berpegang kepadanya, akan ditarik dia ke syurga dan kikir (bakhil) itu pohon yang bibitnya asalnya di neraka. Sedang dahan–dahannya akan ditarik ke neraka."

Hakim bin Hizam RA katanya: "Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) ALLAH akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada ALLAH) ALLAH akan mencukupkannya." (Riwayat Bukhari)

Daripada Abdul Rahman As–Salamani Maula Daripada Umar RA telah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Jika datang seorang meminta–minta maka jangan kamu putuskan permintaanya sehingga selesai permintaannya, kemudian kamu jawab dengan perkataan yang sopan dan lunak, dengan memberi sedikit atau penolakan yang baik, sebab adakalanya yang datang kepadamu itu bukan manusia dan bukan jin hanya sekadar menguji kamu, bagaimana kau berbuat sedemikian terhadap nikmat yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu."

Kelebihan bersedekah secara umum digambarkan dengan indahnya dalam al-Quran. Terdapat banyak sekali ayat suci yang menerangkan perihal kelebihan memberi sedekah.

Dalam kitab Tanbihul Ghafilin, (2012), Abul Laits RA berkata: "Bersedekahlah dengan yang sedikit atau banyak, sebab sedekah itu mengandungi sepuluh kebaikan, iaitu lima di dunia dan lima lagi di akhirat."

Adapun lima kebaikan di dunia dan di akhirat untuk orang yang bersedekah adalah:

DI DUNIA
1. Membersihkan harta kekayaan.
2. Membersihkan badan daripada dosa–dosa.
3. Menolak bala dan penyakit.
4. Menyenangkan hati golongan miskin. Sedangkan sebaik– baik amal adalah menyenangkan orang mukmin.
5. Menjadikan harta semakin berkat dan luasnya rezeki.

DI AKHIRAT
1. Sedekah itu akan menjadi naungan kepada pemberi sedekah.
2. Sedekah itu akan meringankan hisab perhitungan amalnya.
3. Memberatkan timbangan amal kebaikannya di akhirat.
4. Memudahkan menyeberangi titian (sirat).
5. Meningkatkan darjat (kedudukan) di syurga kelak.
Tujuh perkara yang dapat menumbuhkan sedekah dan membesarkan pahala:
1. Mengeluarkannya daripada harta yang halal.
2. Menginfakkan harta kita walaupun sedikit.
3. Menimbulkan kebimbangan dan khuatir dalam hati sekiranya tidak berpeluang bersedekah.
4. Memilih apa yang paling terbaik kerana bimbang jika termasuk dalam golongan bakhil.
5. Memberikan sedekah dengan cara bersembunyi kerana bimbang termasuk dalam golongan yang riyak.
6. Tidak menghina da mencela kepada yang diberi takut berdosa
7. Keajaiban bersedekah dapat tolak bala.

Ajaibnya amalan bersedekah

Terdapat kisah benar perihal keajaiban sedekah boleh menolak bala dipetik daripada buku Musthofa Syaikh Ibrohim Haggi berjudul Tolak Bala: Menepis Bencana dengan Lantunan Doa. Dalam penulisan buku tersebut penulis mengisahkan sepasang suami isteri yang berniaga kuih–muih. Pasangan itu mempunyai seorang anak yang masih bersekolah. Suatu hari, anaknya ditimpa kemalangan sehingga koma selama lima hari kerana mengalami kemalangan yang teruk. Tidak berapa lama anaknya terjaga dari koma dan boleh meneruskan sesi pembelajaran seperti sediakala di sekolah.

Selain itu, keluarga ini juga memperoleh wang simpanan sebanyak lima belas juta rupiah, dan kos perubatan yang telah mereka keluarkan sebanyak lapan juta, sehingga masih ada baki wang yang cukup untuk keperluan keluarga.

Ketika mereka berdua memulakan perniagaan kuih–muih di pasar (semenjak 35 tahun yang lalu), suami isteri itu selalu bersedekah.

Penulis membayangkan setiap cubaan dan musibah yang menimpa keluarga tersebut terselit pengajaran yang dapat diambil iaitu mereka sekeluarga masih lagi mendapat nikmat yang masih berbaki daripada wang simpanan dan anak mereka masih dalam keadaan sihat walafiat tidak kurang satu apa pun seperti sedia kala.

NABIHAH YUSOF - Penulis adalah pembaca Rehal dari Kelantan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Coupons