Monday, 26 May 2014

JALAN YANG BERKESAN UNTUK CAPAI KEJAYAAN



Kita mesti menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi, kita tahu mengapa kita buat, apa yang kita hendak dan patut buat. Kejayaan hanya akan tercapai apabila kita mempunyai keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT. Bagi saya, yang perlu kita takut hanya pandangan Allah dan kita mesti lakukan dengan bersungguh-sungguh dan secara istiqamah amalan yang mendekatkan diri kita kepada Allah.

Mengikut Imam Ghazali ada empat cara untuk kita beristiqamah dalam amalan dan ibadah. Pertama, mesti bebas daripada penghargaan manusia tetapi carilah reda Allah. Berani berkata benar dan tidak takut kepada tekanan dan ancaman manusia. Kedua, hanya mencari reda Allah hingga kita menjadi manusia yang tidak takut dikeji dan tidak suka dipuji. Ketiga, sentiasa ingatkan mati dan berdoa mahu mati dalam iman dan khusnulkhatimah. Keempat, hati yang rindu kepada para Nabi dan para sahabat di syurga.

Ilmu adalah makanan rohani. Orang yang menjaga hubungannya dengan Allah dan hubungan dengan manusia adalah orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Jadikan emosi positif magnet diri kita dan tingkatkan akaun emosi kita. Orang yang paling bagus ialah orang yang tidak tahu dia baik, dan dia baik dengan semua orang.

Banyak orang kata, “jangan nilai buku daripada kulitnya”. Maksudnya biarpun daripada ukuran luaran (fizikal) nampak seseorang itu teruk, tetapi dalaman (hati) dia tidak teruk; hatinya baik dan bersih. Pandangan ini banyak sekali kita dapati dalam kalangan orang muda, hingga sanggup melanggar perintah Allah, tidak menutup aurat contohnya. Kesedaran keegoan yang tinggi menjadikan kita bersikap sombong, tidak mahu mendengar nasihat orang yang lebih berpengalaman daripada kita.

Pada waktu itu kita lebih mementingkan pakaian dan rupa yang cantik, tetapi kita tidak hirau kecantikan keperibadian kita. Orang yang mengakui dirinya baik, sebenarnya dia tidak baik. Hidup orang bertakwa sentiasa berasa dirinya, tidak baik dan banyak dosa; supaya lebih berusaha mencari pahala dan tidak berpuas hati dengan amalan yang tidak seberapa.

Ingatlah formula dalam pemikiran ‘reset minda,’ iaitu ‘Dunia luaran menggambarkan dunia dalaman’, dan ‘Hiduplah dari dalam ke luar.’ Maksudnya, ke mana sahaja kita berada, kita berpegang kepada keperibadian ‘dalaman’ kita, dan dengan itu apa-apa sahaja pengaruh dari ‘luar’ tidak akan mampu menggubah keperibadian kita, yang kita bina teguh dengan keimanan.

Ingatlah, selangkah kita mencari Allah, 10 langkah Allah datang kepada kita; dekat dengan Allah dekat dengan kita. Orang yang hati bersih, ikhlas bertakwa hidupnya tenang dan bahagia, dan aura yang bersih serta suci itu akan terpancar melalui wajahnya.

Silaturrahim

Jadilah kita seorang yang suka menjaga silaturrahim, sangat bermurah hati, tinggi nilai kasih sayang, terima manusia seadanya, sentiasa perbaiki diri dengan mencari ilmu, tidak suka bersaing, dan bertoleransi dengan kelemahan orang lain. Jauhilah hidup yang tertekan, iaitu sentiasa hendak lebih daripada orang, asyik fikir kita yang betul, sentiasa mengatakan bahawa rezeki kita hasil usaha kita, bukan dengan kerjasama orang lain dan datang daripada Allah, hingga kita menjadi sombong dan kedekut serta tidak berperikemanusiaan.

Jadikanlah kelebihan kita untuk melengkapkan kekurangan orang lain. Kalau kita kaya, jadilah kita orang kaya yang bermurah hati dan kalau kita orang miskin jadilah kita orang miskin yang sabar. Sama ada kita orang kaya atau kita orang miskin, kita sama sahaja tidak terlepas daripada membuat dosa. Yang penting semua orang kena bertaubat, mempertingkatkan ibadah, dan memperbanyakkan doa.

Jadilah kita wanita pilihan Allah, wanita yang cantik, pintar mencari duit, kuat dan tahan cabaran, serta sabar berhadapan dengan dugaan. Jadilah kita wanita yang disayangi Allah dan dikasihi-Nya. Bermohonlah kepada Allah, “Ya Allah tolonglah bantu tingkatkan kehidupan kami, mudahkan rezeki kami, sihatkan badan kami, jika kami melangkah mudahkan langkah kami dan selamatkan kami. Amin Ya Allah.” Jom mari kita lakukan refleksi diri, cari inspirasi diri dan transformasi diri”.

Prof Dr Muhaya

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Coupons