Sunday, 4 May 2014

PERANGI SIFAT RIAK DAN TAKBUR



Pada mulanya syaitan sudah sedia dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini kerana syaitan adalah dari jenis jin dan makhluk jin pula telah sedia ada sebelum Adam ‘alaihi salam dicipta oleh Allah. Kemudian Allah mencipta manusia:




Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat:

“Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering,

yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

[al-Hijr 15:28]



Setelah mencipta manusia, Allah memerintahkan para penghuni langit yang terdiri daripada para malaikat dan jin untuk sujud kepada Adam. Termasuk dari kalangan para penghuni langit ialah iblis. Akan tetapi memandangkan penghuni langit majoritinya ialah malaikat, maka mencukupi perintah sujud ditujukan kepada para malaikat sahaja. Maka bersujudlah para penghuni langit semuanya kecuali iblis:


Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kepada Nabi Adam.”

Lalu mereka sekaliannya sujud melainkan Iblis; ia enggan dan takbur dan menjadilah ia

dari golongan yang kafir. [al-Baqarah 2:34]



Mengapakah iblis enggan sujud? Dalam ayat 34 surah al-Baqarah di atas Allah Subhanahu wa Ta'alamenerangkan bahawa sebab iblis enggan sujud ialah takbur. Apakah yang dimaksudkan dengan sikaptakbur? Allah menjelaskannya dalam beberapa ayat lain. Para pembaca sekalian hendaklah memberi perhatian kepada penjelasan ini kerana mungkin sebahagian darinya ada pada diri kita sendiri tanpa disedari.



Takbur ialah sikap ujub.

Ujub ialah sikap yang merasa diri sendiri lebih hebat, lebih canggih dan lebih baik dari yang selainnya. Sikap inilah yang dimiliki oleh iblis sebagaimana ayat berikut:



Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu

daripada sujud ketika Aku perintahmu?”

Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan)

jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”

[al-A’raaf 7:12]


Takbur ialah sikap menghina orang lain.

Salah satu maksud takbur yang ada pada iblis ialah sikap menghina, sebagaimana dia menghina bahan-bahan yang menjadi asas penciptaan manusia:



Allah berfirman: “Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut

bersama mereka yang sujud itu?”

Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang

Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering,

yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

[al-Hijr 15:33]



Takbur ialah mengunggulkan akal (logik) di atas perintah Allah.

Apabila diperintah untuk sujud kepada manusia, semua penghuni langit sujud kecuali iblis. Oleh kerana sikap takbur yang ada pada dirinya, ia merasakan tidak perlu segera taat kepada perintah Allah. Sebaliknya hendaklah dinilai terlebih dahulu adakah perintah tersebut logik atau tidak.



Setelah dinilai, iblis mendapati perintah tersebut adalah tidak logik kerana api dan tanah tidak berada pada kedudukan yang sama. Antara keduanya, tentu api lebih mulia dari tanah. Justeru takkanlah sesuatu yang dicipta dari api perlu sujud kepada sesuatu yang dicipta dari tanah?



Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:

“Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata:

“Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah?”

[al-Isra’ 17:61]



Takbur ialah mempersoal perintah larangan Allah.

Setelah menilai bahawa perintah sujud kepada manusia adalah tidak logik, iblis bukan sahaja enggan sujud tetapi memberanikan diri menyoal Allah akan perintah-Nya! Perhatikan sikap iblis ini yang Allah ungkapkan dalam al-Qur’an:



Iblis berkata lagi (kepada Allah): “Khabarkanlah kepadaku,

inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?”

[al-Isra’ 17:62]



Demikian empat sikap takbur yang dimiliki oleh iblis yang menyebabkan ia dihalau keluar dari langit:



Allah berfirman: “Turunlah engkau dari (langit) ini,

kerana tidak patut engkau berlaku takbur di dalamnya;

oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.”

[al-A’raaf 7:13]


Hendaklah kita sentiasa berwaspada terhadap empat sikap takbur yang dimiliki oleh iblis, iaitu ujub, menghina, mengunggulkan logik atas wahyu dan mempersoalkan wahyu. Allah Subhanahu wa Ta'alamenjelaskan sikap-sikap tersebut tidak lain agar kita mengambil iktibar darinya dan menghindari diri daripada bersikap dengannya. Hendaklah kita memiliki sikap rendah diri, memuliakan orang lain, tunduk kepada wahyu (al-Qur’an dan al-Sunnah) serta tidak mempersoalkannya.



Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berada di pertengahan di antara dua ekstrim di atas. Di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, akal ialah sesuatu yang bermanfaat jika ia digunakan sesuai dengan peranannya. Ini kerana orang yang berakal cemerlang ialah mereka yang tahu mendudukkan akal pada peranan yang dengan itu ia diciptakan. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak mengunggulkan akal di atas wahyu dan pada waktu yang sama tidak menafikan peranan akal di dalam wahyu. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berada di pertengahan, iaitu akal digunakan untuk memahami wahyu, berfikir cara untuk melaksanakan wahyu dan berijtihad dalam persoalan yang dibolehkan oleh wahyu untuk diijtihadkan.



Permusuhan iblis kepada manusia tidak berhenti dengan sikap takburnya, tetapi dilanjutkannya dengan permusuhan yang berkekalan sehingga Hari Kiamat. Setelah enggan sujud kepada manusia, iblis bertekad:



Iblis berkata: “Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (Hari Kiamat).”

[al-A’raaf 7:14]



Dalam tempoh tersebut, iblis secara khusus dan syaitan secara umum, berjanji akan bertungkus lumus mengganggu manusia dengan objektif utamanya:



Agar manusia menjadi sesat:

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:



(Iblis berkata): Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat,

tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya (manusia),

kecuali sedikit (di antaranya).

[al-Isra’ 17:62]




Agar manusia menjadi kafir:

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:



(Demikian) itu samalah seperti (sikap) syaitan ketika ia berkata kepada manusia:

“Berlaku kufurlah engkau!”

[al-Hasyr 59:16]




Agar manusia syirik kepada Allah:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berkhutbah:



أَلاَ إِنَّ رَبِّي أَمَرَنِي أَنْ أُعَلِّمَكُمْ مَا جَهِلْتُمْ مِمَّا عَلَّمَنِي يَوْمِي



هَذَا كُلُّ مَالٍ نَحَلْتُهُ عَبْدًا حَلاَلٌ وَإِنِّي خَلَقْتُ عِبَادِي حُنَفَاءَ



كُلَّهُمْ وَإِنَّهُمْ أَتَتْهُمْ الشَّيَاطِينُ فَاجْتَالَتْهُمْ عَنْ دِينِهِمْ وَحَرَّمَتْ عَلَيْهِمْ



مَا أَحْلَلْتُ لَهُمْ وَأَمَرَتْهُمْ أَنْ يُشْرِكُوا بِي مَا لَمْ أُنْزِلْ بِهِ سُلْطَانًا .



Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku menyuruhku untuk mengajar kalian

apa yang kalian tidak tahu dan Allah telah mengajarku pada hari ini,

iaitu setiap harta yang Aku (Allah) berikan kepada seseorang hamba

adalah halal dan sesungguhnya Aku mencipta hamba-hamba-Ku

semuanya dalam keadaan (fitrah yang) cenderung kepada agama yang lurus (Islam).



Akan tetapi syaitan-syaitan mendatangi mereka dan memalingkan mereka

dari agama mereka (Islam) dan mengharamkan ke atas mereka

apa yang Aku halalkan bagi mereka.

Dan syaitan-syaitan itu menyuruh mereka mempersekutukan Aku

dengan apa yang tidak Aku berikan keizinan kepada mereka.[2]






Agar manusia memasuki neraka:

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:



Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu,

maka jadikanlah ia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya);

sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.

[Fatir 35:06]



Dalam ayat keenam surah Fatir di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan bahawa syaitan adalah musuh kita dan dengan itu Allah memerintahkan kita untuk menjadikannya sebagai musuh juga. Untuk menjadikan syaitan sebagai musuh, kita perlu mengetahui ciri-cirinya agar dengan itu kita dapat mengetahui sifat mereka, sekadar mana kemampuan mereka dan bagaimana mereka bertindak. Ciri-ciri ini akan kita dedahkan dalam bab seterusnya insya-Allah.


************


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Coupons