Wednesday, 9 May 2012

HAKIKAT RINDU



Rindu menurut para ulama ialah sesuatu perkara yang berlaku kerana terlalu mencintai seseorang. Maka terkadang rindu dibaluti dengan sikap berjaga-jaga. Terkadang ada juga yang terlalu berlebih-lebihan dalam mengungkapkan kalimah rindu sehingga melangkaui batas yang diletakkan oleh Syarak.

Bukanlah semua rindu itu sesuatu yang tidak baik dan menjijikkan. Kerana rindu yang dihiasi dengan iman dan taqwa akan menatijahkan sesuatu yang terbaik bagi sang perindu.

Rindu seperti yang kita ketahui, merupakan perkara yang berlaku selepas hadirnya cinta. Maksudnya, bila cinta mekar maka rindu akan hadir secara tidak langsung. Rindu juga adalah merupakan amalan hati yang mana manusia tiada kuasa untuk menghalangnya.

Menurut Syeikh al-Qadhi Muhammad Ahmad Kan’an , seorang perindu yang benar-benar menjaga dan menyembunyikan perasaan tersebut daripada pengetahuan orang lain akan mendapat pahala dan ganjaran di atas mujahadah yang dilakukannya. Bahkan al-Imam Tahtawi radhiyallahu anhu menyebutkan di dalam hasyiyah Muraqi al-Falah (kitab fiqh Mazhab Abu Hanifah) , beliau menukilkan perkataan daripada al-Imam Suyuti radhiyallahu anhu :

“ Orang yang menyembunyikan perasaan rindu sebegini kepada seseorang yang dirinduinya maka jika dia mati dalam keadaan tersebut akan mendapat ganjaran seumpama golongan Syahid akhirat”.

Pertama: Syahid Dunia- Ini merupakan golongan yang berjuang di jalan Allah(berjihad) tetapi niat mereka bukanlah ikhlas kerana Allah taala, malah untuk mendapatkan pujian dan penghargaan. Maka jika mereka mati ketika berperang dalam keadaan sebegini akan digelarkan Syahid dunia. Ini kerana semua orang melihat seolah-olah mereka mati syahid di dunia ini sedangkan mereka langsung tidak mendapatkan apa-apa ganjaran di sisi Allah taala di akhirat kelak.

Kedua: Syahid Akhirat- Ini merupakan golongan yang pada pandangan mata manusia mereka tidaklah kelihatan sedang berperang di jalan Allah taala. Tetapi jika mereka mati maka mereka akan memperolehi pahala dan ganjaran seumpama orang yang mati syahid. Contohnya seperti yang disebutkan di dalam hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam, ibu yang mati ketika melahirkan anaknya, orang yang mati kerana lemas, orang yang mati kerana sakit perut dan taun, orang yang mati kerana menahan rindu dan cinta terhadap seseorang dan dia menjaga dirinya, orang yang mati ketika menuntut ilmu dan lain-lain. Secara zahirnya kita langsung tidak melihat mereka mati dalam keadaan syahid. Tetapi di akhirat kelak, mereka akan mendapatkan ganjaran seperti orang yang mati syahid. Oleh kerana itulah mereka digelarkan Syahid Akhirat.

Ketiga: Syahid Dunia dan Akhirat- Ini merupakan golongan yang berjuang di jalan Allah taala dan mereka benar-benar ikhlas di jalan Allah.Jika mereka terbunuh ketika peperangan tersebut maka mereka digelarkan syahid dunia dan akhirat. Ini kerana di dunia manusia semua menjadi saksi bahawa golongan ini berjuang dan di akhirat juga mereka akan datang dengan pahala sebagai orang yang mati syahid di jalan Allah taala.

Maka jelaslah bagi kita, sang perindu juga (sama ada wanita atau lelaki) yang benar-benar menjaga rindunya terhadap kekasihnya dengan tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Syarak maka jika dia mati di dalam keadaan sebegini akan memperolehi pahala orang yang syahid di akhirat kelak. Moga Allah menggolongkan kita dikalangan orang yang bersikap perindu sebegini.

Jika kita memahami sebenar-benarnya maksud yang diterangkan oleh ulama, maka kita akan merasa tenang hati. Masih ramai yang tidak memahami maksud rindu dan cinta. Malah sehingga menganggap jika seseorang mencintai seseorang yang lain maka sebenarnya dia telah melakukan sesuatu yang dicegah oleh syarak. Fahaman sebegini perlulah diperbetulkan. Kesalahannya bukan pada sifat cinta tersebut, yang menjadi kesalahannya ialah bagaimana orang yang punya perasaan cinta itu menunjukkan kecintaannya dan kerinduannya.

Islam adalah agama fitrah. Cinta dan rindu adalah fitrah seorang insan. Islam datang untuk menunjukkan cara sebenar mengendalikan cinta dan rindu. Bukannya menafikan rindu dan cinta itu hadir dalam kehidupan seseorang.

Perbuatan orang yang bercinta itu yang perlu dipersoalkan kerana mendahulukan nafsu daripada iman yang terdapat dalam sanubari mereka.

Jangan terlalu membenci cinta. Sudah banyak saya perhatikan orang yang menentang cinta yang hadir dalam dirinya dengan tentangan yang padu, akhirnya dia sendiri tersungkur dan menjadi orang yang lebih teruk daripada orang yang tidak membenci cinta sepertinya.

Saya menulis sebegini bukan untuk mengalakkan pasangan untuk bercinta. Bukan itu tujuan saya. Tujuan saya biarlah orang benar-benar faham apa itu cinta yang dimaksudkan oleh syarak.Apa itu rindu yang sebenar. Cinta dan rindu bukan hanya tertumpu pada lelaki dan wanita. Jika difahami sedemikian maka terlalu sempit pemahamannya. Cinta dan rindu itu umum.

Tanpa cinta maka kita akan berbalah tanpa meletakkan sedikit kecintaan pada sahabat seagama kita. Tanpa cinta maka kita tidak akan memandang seseorang yang berbeza pendapat dengan kita dengan pandangan yang mulia. Tanpa cinta semua akan jadi pincang. Ini hikmahnya Allah taala ciptakan cinta. Bukan untuk disalah gunakan. Tapi untuk dimanfaatkan sebaiknya.

Biar orang membenci, tapi hati kita tetap mencintai.Biar orang lupakan kita, tapi kita tetap merindui

Tuesday, 8 May 2012

BERDOALAH, ALLAH MAHA MENDENGAR



ANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah tanpa sebarang ‘broker’ dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.

Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.

Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!

Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah. Firman Allah: (maksudnya)

Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka (surah al- Ahqaf: 5-6).

Firman Allah: (maksudnya)

Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya (surah Fatir: 13-14).

Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’ atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.
Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn ‘Abbas:

“Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah dan engkau kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki. (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).

Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka.

Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil ‘tok keramat’ lalu mereka seakan dimaksumkan. Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu.

Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya.

Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.

Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.

Firman Allah: (maksudnya)
Ingatlah! Hanya untuk Allah agama yang bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung itu berkata: “Kami tidak menyembah mereka (tuhan-tuhan palsu) melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik) (al-Zumar:3).

Setelah Allah menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa, Allah terus menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan yang kuat antara puasa Ramadan dan janji Allah untuk memustajabkan doa hamba-hamba-Nya. Allah berfirman (maksudnya):

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (surah al-Baqarah: 186).

Demikian, Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya.

Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung. Firman Allah (maksudnya):

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60).

Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah, bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.

Doa sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak diterima, mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui. Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan yang lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendaki-Nya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang lain. Segalanya mungkin.

Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat. Sabda Nabi:

Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Maka, ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga.

Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah. Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak diduga.

Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian.

Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.

Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan. Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis.

Malangnya, ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan pun sama. Ada orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu menunjukkan mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan: Islam tidak diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid selepasnya.

Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa. Sabda Nabi:

Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud. (Riwayat Muslim).

Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:

Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan. (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).

Bukan bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa kuat beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang faham sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika seseorang berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat makmum dan imam tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang berdoa bersendirian.
Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang hamba yang sedang merintih memohon kepada Allah. Sebahagian nada itu, jika seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun kita akan pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah yang Maha Agung?

Benarlah sabda Rasulullah:

Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa. (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Pelajari kita nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia dan akhirat kita.

sumber  : klik

Monday, 7 May 2012

Jika Anda Berdukacita dan Berkeluh-kesah, Berzikirlah...


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hafiz ibnu Qaiyim r.a. adalah seorang ulama hadis yang termashur, di dalam risalah Al-Wabil beliau menggariskan beberapa kelebihan berzikir antaranya:

* Zikir menjauhkan syaitan dan melemahkan kekuatannya

* Zikir menyebabkan Allah redha

* Zikir menjauhkan dukacita daripada hati manusia

* Zikir menggembirakan hati

* Zikir menguatkan badan dan menyeronokan sanubari

* Zikir memurahkan rezeki

* Zikir adalah sinaran hati dan muka

* Zikir adalah membawa orang yang berzikir itu kepada kehebatan dan kegagahan yakni dengan memandang wajahnya seseorang merasa gentar

* Zikir melahirkan cinta sejati kepada Allah kerana cinta itulah roh islam, jiwa agama, dan sumber kejayaan dan kebahagiaan. Zikrullah itu merupakan pintu cinta Ilahi.

* Zikir adalah mendatangkan hakikat Muraqabah dan Muraqabah itu membawa seseorang kepada martabat ihsan. Dengan adanya martabat ihsan maka manusia dapat beribadat kepada Allah dalam keadaan yang seolah-olah ia melihatNya

* Zikir membawa seseorang kepada penyerahan diri dengan sebulat-bulatnya kepada Allah. Dengan ini lama kelamaan maka setiap urusan dan dalam setiap keadaan Allah menjadi pelindung dan pembantu baginya.

* Zikir adalah membawa seseorang kepada Takarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Jika zikir itu bertambah banyak maka dengan sendirinya ia bertambah dekat kepada Allah dan semakin bertambah lalai daripada berzikir maka dengan sendirinya ia bertambah jauh dari Allah.

* Zikir adalah membuka pintu makrifat Allah

* Zikir melahirkan keagungan dan kehebatan Allah dan semangat merapatkan diri kepada Allah.

* Zikir adalah menyebabkan Allah ingat kepada seseorang yang ingat kepadanya seperti mana disebutkan di dalam Al-Quran (surah Al Baqarah 152) "Fazkuruunii azkurkum" ertinya; "kerana itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat pula kepada mu".

sumber  ; klik

Sunday, 6 May 2012

Apakah Keajaiban Tawakal?



Kita sedang berada didalam proses semakin hari, semakin bertambah usia kita. Tidak ada siapa yang boleh menjangka apa yang berlaku pada hari esok secara tepat tetapi hanya Allah swt yang menentukan kehidupan ini.

Kadang-kadang, apabila kita merasakan kita tidak mampu untuk melakukan sesuatu perkara, tetapi jika Allah swt izinkan, maka ia pasti akan berlaku. Dan ada orang yang merasakan dirinya besar dengan segala kekuatan dan kekuasaan yang ada padanya, tiba-tiba dia gagal di dalam kehidupnya.

Teringat dahulu pada sesi persekolahan rendah dan menengah, ada rakan-rakan kita yang sering menduduki ranking 10 teratas, tetapi bukan semua yang dapat kedudukan tertinggi itu menjadi orang yang hebat.

Dalam agama, antara perkara yang besar ditekankan dalam soal akidah ialah bab tawakal. Insan, bergantung sepenuhnya dengan Allah swt. Manusia disuruh berusaha, tetapi manusia perlu yakin bahawa diatas segala usahanya, kuasa yang lebih besar ialah Allah swt.

"dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." [ surah At-Tallaq, ayat 2-3]

Orang selalu menyangka, rezeki itu ialah gaji bulanan yang diperolehi, tetapi kadang-kadang, kita mendapat makan dan pelbagai-bagai pemberian dariNya tanpa kita berusaha. Jika kita bergantung kepada kadar kebijaksanaan dan kekuatan kita semata-mata, mungkin kita tidak dapat semuanya itu.

Sesiapa yang bertawakal kepada Allah, cukuplah Allah baginya.

Tawakal adalah keajaiban hidup

Kadang-kadang, kita merasakan kita lepas untuk melakukan sesuatu dalam hidup ini dengan kemampuan kita, tetapi sebenarnya kita tidak berjaya melepasinya.

Kita selalu menyangka, setiap dugaan itu datang untuk menguji kita semata-mata, tetapi jika kita bertawakal kepada Allah dalam seluruh urusan kita dimuka bumi ini, insyaAllah, sesuatu yang 'ajaib' akan menjelma disebalik dugaan yang kita alami dahulu.

Mungkin ramai yang menyangka kita akan menang, tetapi jika Allah swt tidak mengizinkan, pasti kita akan kalah. Walau ramai yang menyangka kita akan kalah, tetapi jika kita bergantung kepadaNya, Allah memberikan kita kemenang dari sudut yang tidak kita tidak sangka-sangka.

Begitulah kehidupan, yang sentiasa diwarnai dengan cabaran dan dugaan yang datang untuk menguji para hambaNya, samada kita terus jauh atau lebih dekat kepadaNya. Indahnya hidup kita jika kita sentiasa memusatkan segala urusan kita dengan bergantung terus kepada Allah swt, insyaAllah kita akan mendapati, hidup kita ini akan bergerak dari satu peringkat ke peringkat yang lain sehingga kita bertemu dengan Allah swt.

Sebuah ungkapa yang ingin dibicarakan

Di Share Motivasi, saya dan anda semua, menulis dan membaca artikel-artikel di sini, bukan semata-mata sahaja untuk menaikkan rating dan mempromosikan blog masing-masing , tetapi saya dan anda semua berharap, agar kita memperoleh sesuatu yang dapat menghubungkan diri kita dengan Allah swt iaitu kita menjadi hamba yang taat kepadaNya.


sumber : klik

Saturday, 5 May 2012

BINA MINDA POSITIF



Untuk menjadi orang bermotivasi, Anda terlebih dahulu kena mengenali diri Anda dengan lebih mendalam. Semakin Anda mengenali diri Anda, semakin banyaklah keajaiban-keajaiban yang Anda akan temui. Dari situ, muncul rasa yakin pada diri kerana Anda sudah temui kekuatan-kekuatan Anda. Anda akan rasa adamotivasi
Dalam usaha untuk menjadi pelajar cemerlang, pekerja berintegriti, suami beriman, suri rumah berkaliber atau simply menjadi seseorang yang sentiasa bersemangat, Anda perlu mengenali minda terlebih dahulu. Anda kena memahami bagaimana minda Anda menjalankan fungsinya. Senang nak cakap, Anda kena tahu cemana minda bekerja.
Bagi Anda yang baru mengenali minda, sebenarnya minda ada dua bahagian. Bahagian pertama adalah minda sedar. Bahagian kedua adalah minda separa sedar. Nama minda sedar dan minda separa sedar dipanggil dengan banyak nama.
Ada orang panggil minda sedar sebagai Concious Mind (atau singkatannya cm). Ada orang panggil minda separa sedar dengan nama subconcious mind, minda bawah sedar, atau sub-cm iaitu singkatan daripada subconcious mind.
Minda sedar adalah minda biasa, iaitu minda di mana Anda boleh mengawalnya semasa Anda bangun pada hari-hari biasa. Anda menggunakan minda sedar apabila Anda berfikir, belajar, memasak, memandu, berlari, berenang, bercerita-cerita, berbual atau ketika sedang berjalan-jalan. Apabila Anda berfikir, Anda sedang menggunakan minda sedar.
Minda separa sedar pula, cemana? Ah ha. Emosi, rasa hati, intuisi, mimpi, imaginasi dan bayangan datang dari minda separa sedar. Minda separa sedar tidak membezakan baik dan buruk.
Apa yang Anda bayangkan selalu, apa yang Anda imaginasikan selalu, itulah yang akan diterima habis oleh minda separa sedar Anda.
Ketika Anda menggunakan minda sedar, Anda boleh membezakan mana satu yang baik dan mana satu yang buruk sebab Anda boleh berfikir. Anda menggunakan logik akal untuk membezakan baik dan buruk.
Tapi minda separa sedar tidak berfungsi secara logik. Minda separa sedar lebih terjurus kepada rasa hati, imaginasi, bayangan, visualisasi dan emosi Anda.
Minda separa sedar boleh diransang kekuatannya melalui doa dan amalan-amalan Islamik seperti sembahyang dan zikir, iaitu amalan-amalan sunat seperti yang dikatakan tadi.
Anda boleh tingkatkan kekuatan minda separa sedar Anda dengan emosi-emosi positif digabung dengan amalan-amalan membesarkan kuasa Tuhan. Lakukanlah dengan niat mahu mendekatkan diri kepada ALLAH. Bila Anda melakukannya sepenuh hati dengan penuh ikhlas juga dengan penuh kesungguhan, pasti Anda akan dapat rasai kesannya.
Sebagai orang Melayu beragama Islam, cara terbaik untuk meransang kekuatan minda separa sedar adalah melalui amalan doa, zikir dan bersikap positif.
Elak beremosi negatif walau sedikit. Anda perlu beremosi positif sepenuhnya.
Caranya, hadirkan emosi-emosi positif dalam diri Anda. Contoh emosi-emosi positif adalah seperti cinta (love), rasa bersyukur (gratitude), rasa seronok (joy), rasa berharap pada bantuan ALLAH (hope), rasa yakin (confidence) iaitu rasa mampu melakukan sesuatu tanpa gusar.
Sikap cepat marah, dendam dan rasa tidak puas hati adalah racun kepada minda separa sedar. Sikap-sikap sebegini akan menjadikan Anda insan beremosi negatif. Sikap-sikap ini menjadikan Anda selalu berfikiran negatif, berimaginasi negatif juga memvisualisasikan yang negatif. Minda separa sedar Anda akan menyerap semua rasa negatif yang hadir di hati Anda.
Kesannya, Anda akan ditemukan dengan situasi-situasi negatif, orang-orang negatif, Anda akan ditimpa masalah-masalah besar (seperti masalah kewangan, masalah perhubungan dengan kawan-kawan, masalah dengan pasangan hidup, masalah dengan orang yang dicinta, masalah dengan ibu dan bapa). Semua ini berpunca dari minda separa sedar Anda.
Kenapa? Sebab Anda masukkan elemen-elemen negatif ke dalam minda separa sedarAnda. Dalam realiti hari ini, ramai di kalangan kita tidak sedar yang dia sebenarnya memasukkan banyak elemen negatif ke dalam minda separa sedar kerana dia tidak mengenali mindanya sendiri. Dia tidak tahu apa itu minda sedar dan apa itu minda separa sedar.
Kini Anda sudah tahu apa minda separa sedar. Minda jenis inilah yang akan banyak memainkan peranan dalam hidup Anda.
Mengapa? Sebab minda separa sedar mempunyai daya tarikan (attraction) berbentuk getaran tenaga yang akan dilepaskan ke alam semesta lantas menarik getaran-getaran tenaga lain yang serupa dengan apa yang ada di dalam minda separa sedar Anda. Inilah bukti kekuasaan ALLAH.
Bila minda separa sedar Anda banyak dimasukkan dengan elemen-elemen baik dan elemen-elemen positif, kesannya minda separa sedar Anda akan menarik situasit-situasi baik, orang baik-baik dan benda baik-baik kerana kesemuanya mempunyai getaran tenaga yang baik.
sumber : klik

Friday, 4 May 2012

TANDA ALLAH CINTA HAMBANYA



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Jika seorang isteri mengharapkan kasih sayang suami kepada dirinya dan seorang anak akan mengharapkan kasih sayang ibu bapa maka lebih-lebih lagi seorang hamba mengharapkan kasih sayang Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada dirinya. Tidak ada kasih sayang yang cukup mulia dan tinggi kedudukannya melainkan kasih sayang Allah SWT kepada para hamba-hamba-Nya yang terpilih.

Setiap sesuatu kebaikan yang dikehendaki oleh Allah SWT ada tanda-tandanya . Terdapat tiga tanda-tanda seorang hamba itu di kasihi dan disayangi oleh Allah SWT di dunia ini. 

Tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Allah SWT memberikan balasan di dunia supaya di akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah SWT.

Kedua : Allah SWT  membukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh.

Ketiga : Allah SWT akan memberi kefahaman terhadap agama Islam dan mampu pula menghayatinya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Huraiannya :

Pertama : Allah SWT memberikan balasan di dunia supaya di akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Apabila Allah mahukan kebaikan terhadap seseorang hambaNya,Ia terus mempercepatkan balasan kesalahannya di dunia ini lagi,dan sebaliknya apabila Allah mahukan keburukan terhadap seseorang hambaNya, ia tidak membalaskan perbuatannya yang berdosa di dunia sehingga ia membalaskannya nanti pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Tabrani )

Sebahagian dari tanda kesayangan Allah kepada hambaNya ialah Ia mempercepatkan balasanNya di dunia lagi agar manusia itu insaf dan dapat memperbetulkan kesalahannya serta kembali ke jalan yang benar.Sebaliknya tanda bagi orang yang dibenci oleh Allah, akan dibiarkan mereka bergelumang dengan dosa dan maksiat dan mereka terus lalai dan lupa di dunia ini.

Setiap mukmin sepatutnya menerima segala kesusahan yang berlaku di dunia ini dengan redha yang mungkin ianya sebagai hukuman yang diturunkan Allah kerana kesalahan dirinya, atau mungkin sebagai satu dari tanda kesayangan Allah. Adalah lebih baik jika kita

menerima hukuman atas kesalahan kita di dunia ini lagi agar kita insaf dan berkesempatan untuk bertaubat kerana balasan di akhirat adalah lebih dahsyat serta tidak ada ruang lagi untuk bertaubat.

Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”

Melihat firman Allah di atas, jelas bahawa pelbagai penyakit yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada cubaan ataupun ujian Allah yang diberikan kepada hamba-Nya. Sesungguhnya cubaan dan ujian itu adalah sunnatullah yang telah ditetapkan berdasarkan rahmat dan hikmah-Nya, di mana di dalamnya terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya. Harus kita ingat bahawa Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan yang berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit kepada hamba-Nya.

Oleh itu banyakkan bersabar dan elakkanlah dari mengeluh dan berdukacita bila Allah SWT timpakan kesusahan dan kepayahan di dunia ini.

Kedua : Allah SWT  membukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :"Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang,nescaya ia bukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh,Ia jadikan hatinya waspada terhadap liku-liku hidup yang dijalaninya, ia jadikan hatinya sihat sejahtera dan lidahnya bercakap benar dan perangainya lurus,dan Ia jadikan telinganya mendengar dan matanya melihat." (Hadis Riwayat Abu As Sheikh dari Abu Zarr)

Apabila Allah kasihkan seseorang hambaNya Ia akan membuka hatinya menjadikan ia cinta kepada Allah, kemudian ia akan mempunyai keyakinan yang teguh.Dengan itu ia akan berhati-hati dalam hidupnya agar tidak terjebak dalam dosa dan terhindar dari penyakir hati seperti hasad,takabbur,riak, ujub, membalas dendam, marah dan sebagainya. Kesan dari ini ia akan bercakap benar sahaja. Seterusnya ia akan mempunyai mata yang dapat melihat dan memahami keagungan Allah; telinga yang cintakan nasihat yang benar.

Adakah ciri-ciri ini kita miliki? Jika ada maka itu adalah tanda-tanda kita disayangi oleh Allah SWT.

Ketiga : Allah SWT akan memberi kefahaman terhadap agama Islam dan mampu pula menghayatinya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan pada dirinya, pasti Allah menganugerahinya pemahaman dalam agama.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 39, no. hadis : 71.)

Apabila Allah SWT hendak memberikan kebaikan kepada seorang hamba-Nya dan menyayanginya maka Dia akan memberi kefahaman untuk memahami agama Islam dan mampu pula dihayati agama Islam itu di dalam kehidupannya. Agama Islam bukan agama teori semata-mata tetapi ianya adalah agama untuk diamalkan dan dihayati dalam kehidupan.

Orang mukmin yang diberikan kefahaman agama tidak akan sanggup mengadaikan akidah semata-mata untuk mendapat habuan dunia, tidak akan mencintai dunia hingga melupakan kehidupan dihari akhirat. Dia akan sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Surah Al-Maidah ayat 3)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri. Jika tiga tanda-tanda di atas ada kita miliki ini bermakna Allah SWT sedang menyayangi kita, tetapi jika tidak ada dikhuatiri kita sedang dimurkai-Nya. Oleh itu bertaubatlah dan terus berdoa semoga kita di pelihara oleh-Nya dan di sayangi-Nya dan kita terpelihara daripada rosak dan binasa. Dia sentiasa bersedia menerima taubat hamba-hamba-Nya.

source : klik

SELAMAT DATANG~

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Bluehost Coupons