Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta
salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Jika seorang isteri mengharapkan kasih sayang suami kepada
dirinya dan seorang anak akan mengharapkan kasih sayang ibu bapa maka
lebih-lebih lagi seorang hamba mengharapkan kasih sayang Tuhan Yang Maha
Pengasih dan Maha Penyayang kepada dirinya. Tidak ada kasih sayang yang cukup
mulia dan tinggi kedudukannya melainkan kasih sayang Allah SWT kepada para
hamba-hamba-Nya yang terpilih.
Setiap sesuatu kebaikan yang dikehendaki oleh Allah SWT ada
tanda-tandanya . Terdapat tiga tanda-tanda seorang hamba itu di kasihi dan
disayangi oleh Allah SWT di dunia ini.
Tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Allah SWT memberikan balasan di dunia supaya di
akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah SWT.
Kedua : Allah SWT
membukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan
kepercayaan yang kukuh.
Ketiga : Allah SWT akan memberi kefahaman terhadap agama
Islam dan mampu pula menghayatinya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan
sempurna.
Huraiannya :
Pertama : Allah SWT memberikan balasan di dunia supaya di
akhirat nanti akan terlepas balasan daripada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Apabila Allah
mahukan kebaikan terhadap seseorang hambaNya,Ia terus mempercepatkan balasan
kesalahannya di dunia ini lagi,dan sebaliknya apabila Allah mahukan keburukan
terhadap seseorang hambaNya, ia tidak membalaskan perbuatannya yang berdosa di
dunia sehingga ia membalaskannya nanti pada hari kiamat." (Hadis Riwayat
Tabrani )
Sebahagian dari tanda kesayangan Allah kepada hambaNya ialah
Ia mempercepatkan balasanNya di dunia lagi agar manusia itu insaf dan dapat
memperbetulkan kesalahannya serta kembali ke jalan yang benar.Sebaliknya tanda
bagi orang yang dibenci oleh Allah, akan dibiarkan mereka bergelumang dengan
dosa dan maksiat dan mereka terus lalai dan lupa di dunia ini.
Setiap mukmin sepatutnya menerima segala kesusahan yang
berlaku di dunia ini dengan redha yang mungkin ianya sebagai hukuman yang
diturunkan Allah kerana kesalahan dirinya, atau mungkin sebagai satu dari tanda
kesayangan Allah. Adalah lebih baik jika kita
menerima hukuman atas kesalahan kita di dunia ini lagi agar
kita insaf dan berkesempatan untuk bertaubat kerana balasan di akhirat adalah
lebih dahsyat serta tidak ada ruang lagi untuk bertaubat.
Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang
bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana)
yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”
Melihat firman Allah di atas, jelas bahawa pelbagai penyakit
yang menimpa umat Islam itu adalah sebahagian daripada cubaan ataupun ujian
Allah yang diberikan kepada hamba-Nya. Sesungguhnya cubaan dan ujian itu adalah
sunnatullah yang telah ditetapkan berdasarkan rahmat dan hikmah-Nya, di mana di
dalamnya terkandung kebaikan dan rahmat bagi hamba-Nya. Harus kita ingat bahawa
Allah memberikan hidayah dan taufik kepada setiap hamba-Nya dengan jalan yang
berbeza-beza. Salah satunya dengan mendatangkan musibah sakit kepada hamba-Nya.
Oleh itu banyakkan bersabar dan elakkanlah dari mengeluh dan
berdukacita bila Allah SWT timpakan kesusahan dan kepayahan di dunia ini.
Kedua : Allah SWT
membukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan
kepercayaan yang kukuh.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :"Apabila Allah
menghendaki kebaikan kepada seseorang,nescaya ia bukakan kunci hatinya dan
mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh,Ia jadikan hatinya
waspada terhadap liku-liku hidup yang dijalaninya, ia jadikan hatinya sihat
sejahtera dan lidahnya bercakap benar dan perangainya lurus,dan Ia jadikan
telinganya mendengar dan matanya melihat." (Hadis Riwayat Abu As Sheikh
dari Abu Zarr)
Apabila Allah kasihkan seseorang hambaNya Ia akan membuka
hatinya menjadikan ia cinta kepada Allah, kemudian ia akan mempunyai keyakinan
yang teguh.Dengan itu ia akan berhati-hati dalam hidupnya agar tidak terjebak
dalam dosa dan terhindar dari penyakir hati seperti hasad,takabbur,riak, ujub,
membalas dendam, marah dan sebagainya. Kesan dari ini ia akan bercakap benar
sahaja. Seterusnya ia akan mempunyai mata yang dapat melihat dan memahami
keagungan Allah; telinga yang cintakan nasihat yang benar.
Adakah ciri-ciri ini kita miliki? Jika ada maka itu adalah
tanda-tanda kita disayangi oleh Allah SWT.
Ketiga : Allah SWT akan memberi kefahaman terhadap agama
Islam dan mampu pula menghayatinya sebagai satu cara hidup yang lengkap dan
sempurna.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang Allah
kehendaki kebaikan pada dirinya, pasti Allah menganugerahinya pemahaman dalam
agama.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari, Dar Ibn
Kathir, Beirut, 1987, jil. 1, hlm. 39, no. hadis : 71.)
Apabila Allah SWT hendak memberikan kebaikan kepada seorang
hamba-Nya dan menyayanginya maka Dia akan memberi kefahaman untuk memahami
agama Islam dan mampu pula dihayati agama Islam itu di dalam kehidupannya.
Agama Islam bukan agama teori semata-mata tetapi ianya adalah agama untuk
diamalkan dan dihayati dalam kehidupan.
Orang mukmin yang diberikan kefahaman agama tidak akan
sanggup mengadaikan akidah semata-mata untuk mendapat habuan dunia, tidak akan
mencintai dunia hingga melupakan kehidupan dihari akhirat. Dia akan sentiasa
tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Pada hari ini, Aku
telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada
kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (Surah
Al-Maidah ayat 3)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri. Jika
tiga tanda-tanda di atas ada kita miliki ini bermakna Allah SWT sedang
menyayangi kita, tetapi jika tidak ada dikhuatiri kita sedang dimurkai-Nya.
Oleh itu bertaubatlah dan terus berdoa semoga kita di pelihara oleh-Nya dan di
sayangi-Nya dan kita terpelihara daripada rosak dan binasa. Dia sentiasa
bersedia menerima taubat hamba-hamba-Nya.
source : klik
0 comments:
Post a Comment