ANTARA
tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak
mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba memohon kepada-Nya. Insan
diperintahkan berhubung langsung dengan Allah tanpa sebarang ‘broker’ dalam
hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah dan
hamba-hamba-Nya.
Islam
menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan
menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan
doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia
nabi ataupun wali.
Seorang
muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah
saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali
sembuhkanlah penyakit saya!
Perbuatan
itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah. Firman Allah:
(maksudnya)
Dan
tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat
menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk
yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila
manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang
disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah
mereka (surah al- Ahqaf: 5-6).
Firman
Allah: (maksudnya)
Allah
jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih
berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu
dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan
semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan
mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan
kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan
kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan
(ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat
yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam
pengetahuan-Nya (surah Fatir: 13-14).
Maka
perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau
memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’ atau
apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas
al-Quran dan al-sunah.
Nabi
s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn ‘Abbas:
“Bahawa
seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah dan engkau
kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu
Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki. (Riwayat al-Imam Ahmad
dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).
Bandingkanlah
ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang
mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh
pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang
menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi
nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka.
Demikian
juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya
boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang
menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil ‘tok
keramat’ lalu mereka seakan dimaksumkan. Kemudian, datang pula orang-orang
jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan.
Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap
tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu.
Ramai
yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu
bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat
Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa
bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh
sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya.
Jika
pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi
kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia
menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau
soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu.
Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.
Ada
yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang
dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam
kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah
awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan
inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.
Firman
Allah: (maksudnya)
Ingatlah!
Hanya untuk Allah agama yang bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang
musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung itu berkata:
“Kami tidak menyembah mereka (tuhan-tuhan palsu) melainkan untuk mendekatkan
kami kepada Allah sehampir-hampirnya”. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara
mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak
memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan
yang bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik) (al-Zumar:3).
Setelah
Allah menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa, Allah terus
menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan yang kuat antara puasa
Ramadan dan janji Allah untuk memustajabkan doa hamba-hamba-Nya. Allah
berfirman (maksudnya):
Dan
apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada
mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku
perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka
hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan
hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (surah
al-Baqarah: 186).
Demikian,
Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan memperkenankan doa kita.
Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada pengawal atau orang tengah yang
menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun
hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk
dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka
dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang
hamba, bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya.
Amat
berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun
seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan
akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita
berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri
kepada zat yang Maha Agung. Firman Allah (maksudnya):
Dan
Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa
permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada
beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina
(surah Ghafir: 60).
Seseorang
kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia
sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang
memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan
keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar.
Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan
al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah,
bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.
Doa
sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak diterima, mungkin
ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu tidak membawa
kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui. Seperti hasrat kita ingin
mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita berdoa agar Allah menjadikan dia
pasangan kita. Allah lebih mengetahui jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah
memilih untuk kita pasangan yang lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain
yang lebih dikehendaki-Nya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang
inginkan orang lain. Segalanya mungkin.
Namun
doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti
di dunia dan di akhirat. Sabda Nabi:
Tiada
seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau
memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu
dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk
diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan
dengannya. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).
Maka,
ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi
disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di
sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih
utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain
seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak
pernah diduga.
Betapa
banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh
Allah. Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau
kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain, lalu
diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak diduga.
Kadangkala
Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya
kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika
diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan
di dunia atau akhirat. Kita pun demikian.
Bukan
bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian
terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika
diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah untuk dibandingkan
dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia
menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.
Di
samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan. Seorang yang
berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka tidaklah dinamakan berdoa
jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu saya amat hairan dengan
sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami maksud. Sesetengah mereka menghafal
teks Arab kerana hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis.
Malangnya,
ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan pun sama. Ada orang
merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak baca
doa selepas solat beramai-ramai. Itu menunjukkan mereka tidak kuat pegangan
Islam mereka. Saya katakan: Islam tidak diturun di kampung halaman kita, ia
diturunkan di Mekah dan Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan
Rasulullah. Lagipun seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat
dan berwirid selepasnya.
Dalam
hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud
sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa. Sabda Nabi:
Paling
dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika
sujud. (Riwayat Muslim).
Nabi
memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:
Berdoalah
pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan. (Riwayat al-Nasai, sanadnya
sahih).
Bukan
bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa kuat
beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang faham
sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika seseorang
berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat makmum dan imam
tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang berdoa bersendirian.
Nasihatilah
mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau mengaminkan tanpa
mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa dibaca dengan nada dan
irama yang tidak menggambarkan seorang hamba yang sedang merintih memohon
kepada Allah. Sebahagian nada itu, jika seseorang bercakap kepada kita dengan
menggunakannya pun kita akan pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa
kepada Allah yang Maha Agung?
Benarlah
sabda Rasulullah:
Berdoalah
kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah
sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa. (Riwayat
al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).
Pelajari
kita nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia
dan akhirat kita.
sumber : klik
0 comments:
Post a Comment