Rindu menurut para ulama ialah sesuatu perkara yang berlaku
kerana terlalu mencintai seseorang. Maka terkadang rindu dibaluti dengan sikap
berjaga-jaga. Terkadang ada juga yang terlalu berlebih-lebihan dalam
mengungkapkan kalimah rindu sehingga melangkaui batas yang diletakkan oleh
Syarak.
Bukanlah semua rindu itu sesuatu yang tidak baik dan
menjijikkan. Kerana rindu yang dihiasi dengan iman dan taqwa akan menatijahkan
sesuatu yang terbaik bagi sang perindu.
Rindu seperti yang kita ketahui, merupakan perkara yang
berlaku selepas hadirnya cinta. Maksudnya, bila cinta mekar maka rindu akan
hadir secara tidak langsung. Rindu juga adalah merupakan amalan hati yang mana
manusia tiada kuasa untuk menghalangnya.
Menurut Syeikh al-Qadhi Muhammad Ahmad Kan’an , seorang
perindu yang benar-benar menjaga dan menyembunyikan perasaan tersebut daripada
pengetahuan orang lain akan mendapat pahala dan ganjaran di atas mujahadah yang
dilakukannya. Bahkan al-Imam Tahtawi radhiyallahu anhu menyebutkan di dalam
hasyiyah Muraqi al-Falah (kitab fiqh Mazhab Abu Hanifah) , beliau menukilkan
perkataan daripada al-Imam Suyuti radhiyallahu anhu :
“ Orang yang menyembunyikan perasaan rindu sebegini kepada
seseorang yang dirinduinya maka jika dia mati dalam keadaan tersebut akan mendapat
ganjaran seumpama golongan Syahid akhirat”.
Pertama: Syahid Dunia- Ini merupakan golongan yang berjuang
di jalan Allah(berjihad) tetapi niat mereka bukanlah ikhlas kerana Allah taala,
malah untuk mendapatkan pujian dan penghargaan. Maka jika mereka mati ketika
berperang dalam keadaan sebegini akan digelarkan Syahid dunia. Ini kerana semua
orang melihat seolah-olah mereka mati syahid di dunia ini sedangkan mereka
langsung tidak mendapatkan apa-apa ganjaran di sisi Allah taala di akhirat
kelak.
Kedua: Syahid Akhirat- Ini merupakan golongan yang pada
pandangan mata manusia mereka tidaklah kelihatan sedang berperang di jalan
Allah taala. Tetapi jika mereka mati maka mereka akan memperolehi pahala dan
ganjaran seumpama orang yang mati syahid. Contohnya seperti yang disebutkan di
dalam hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam, ibu yang mati ketika melahirkan
anaknya, orang yang mati kerana lemas, orang yang mati kerana sakit perut dan
taun, orang yang mati kerana menahan rindu dan cinta terhadap seseorang dan dia
menjaga dirinya, orang yang mati ketika menuntut ilmu dan lain-lain. Secara
zahirnya kita langsung tidak melihat mereka mati dalam keadaan syahid. Tetapi
di akhirat kelak, mereka akan mendapatkan ganjaran seperti orang yang mati
syahid. Oleh kerana itulah mereka digelarkan Syahid Akhirat.
Ketiga: Syahid Dunia dan Akhirat- Ini merupakan golongan
yang berjuang di jalan Allah taala dan mereka benar-benar ikhlas di jalan
Allah.Jika mereka terbunuh ketika peperangan tersebut maka mereka digelarkan
syahid dunia dan akhirat. Ini kerana di dunia manusia semua menjadi saksi
bahawa golongan ini berjuang dan di akhirat juga mereka akan datang dengan
pahala sebagai orang yang mati syahid di jalan Allah taala.
Maka jelaslah bagi kita, sang perindu juga (sama ada wanita
atau lelaki) yang benar-benar menjaga rindunya terhadap kekasihnya dengan tidak
melakukan perkara yang dilarang oleh Syarak maka jika dia mati di dalam keadaan
sebegini akan memperolehi pahala orang yang syahid di akhirat kelak. Moga Allah
menggolongkan kita dikalangan orang yang bersikap perindu sebegini.
Jika kita memahami sebenar-benarnya maksud yang diterangkan
oleh ulama, maka kita akan merasa tenang hati. Masih ramai yang tidak memahami
maksud rindu dan cinta. Malah sehingga menganggap jika seseorang mencintai
seseorang yang lain maka sebenarnya dia telah melakukan sesuatu yang dicegah
oleh syarak. Fahaman sebegini perlulah diperbetulkan. Kesalahannya bukan pada
sifat cinta tersebut, yang menjadi kesalahannya ialah bagaimana orang yang
punya perasaan cinta itu menunjukkan kecintaannya dan kerinduannya.
Islam adalah agama fitrah. Cinta dan rindu adalah fitrah
seorang insan. Islam datang untuk menunjukkan cara sebenar mengendalikan cinta
dan rindu. Bukannya menafikan rindu dan cinta itu hadir dalam kehidupan
seseorang.
Perbuatan orang yang bercinta itu yang perlu dipersoalkan
kerana mendahulukan nafsu daripada iman yang terdapat dalam sanubari mereka.
Jangan terlalu membenci cinta. Sudah banyak saya perhatikan
orang yang menentang cinta yang hadir dalam dirinya dengan tentangan yang padu,
akhirnya dia sendiri tersungkur dan menjadi orang yang lebih teruk daripada
orang yang tidak membenci cinta sepertinya.
Saya menulis sebegini bukan untuk mengalakkan pasangan untuk
bercinta. Bukan itu tujuan saya. Tujuan saya biarlah orang benar-benar faham
apa itu cinta yang dimaksudkan oleh syarak.Apa itu rindu yang sebenar. Cinta
dan rindu bukan hanya tertumpu pada lelaki dan wanita. Jika difahami sedemikian
maka terlalu sempit pemahamannya. Cinta dan rindu itu umum.
Tanpa cinta maka kita akan berbalah tanpa meletakkan sedikit
kecintaan pada sahabat seagama kita. Tanpa cinta maka kita tidak akan memandang
seseorang yang berbeza pendapat dengan kita dengan pandangan yang mulia. Tanpa
cinta semua akan jadi pincang. Ini hikmahnya Allah taala ciptakan cinta. Bukan
untuk disalah gunakan. Tapi untuk dimanfaatkan sebaiknya.
Biar orang membenci, tapi hati kita tetap mencintai.Biar
orang lupakan kita, tapi kita tetap merindui
0 comments:
Post a Comment