Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w.
telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi,
niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)
Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha
yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan
segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.
Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan
Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang
mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu
Hurairah katanya:
“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga
perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan
setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat
Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap
bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang
maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota
seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu
sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang
demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”(Hadis riwayat
Al-Bukhari dan Muslim)
Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam
kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha
menarik rezeki dan menolak kepapaan."
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang
maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni
Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu
Majah dan At-Tirmidzi)
Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku
mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang
sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada
emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai
se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan
dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti
sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga
dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama
jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah
rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah
bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya
seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ”
Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak
ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan
barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada
orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam
rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan
sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu
berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah
akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam
melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah
tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik
daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani )
sumber : klik
0 comments:
Post a Comment